suria

Emosi terganggu, Mawar bimbang keselamatan anak gara-gara tuduhan lari bayar hutang

GARA-GARA dakwaan gagal membayar hutang berjumlah RM720,000 dan berdepan pengisytiharan bankrap, usahawan terkenal Mawar Karim berkata, emosinya terganggu dengan berita yang tidak betul itu.

Mawar, 33, juga memberitahu berita yang tersebar itu juga memberi kesan kepada reputasinya dalam perniagaan dan bimbang dengan keselamatan anak serta keluarga.

"Saya hanya dapat tahu tentang kes ini melalui perkongsian di sosial media. Pastinya emosi saya terganggu apabila orang sekeliling mula bertanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Karim berdepan risiko bankrap, didakwa lari bayar hutang RM720,000

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Karim lapor polis nafi lari bayar hutang RM720,000... Tiada notis bankrap

"Dalam masa sama saya risaukan keselamatan anak dan keluarga serta reputasi sebagai usahawan kerana pelanggan mungkin beranggapan saya tidak boleh dipercayai," katanya kepada mStar.

Mawar ditemui dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada 13 April lalu, mStar melaporkan Mawar berdepan dengan tindakan pengisytiharan bankrap susulan dakwaan dia ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman berjumlah RM720,000 daripada seorang rakan.

mawar karim 33

Mawar ketika sidang media bersama peguam.

Bekas isteri kepada aktor Fizo Omar itu didakwa meminjam wang dengan jumlah tersebut daripada seorang kenalan bernama Nabil Mat Jahya bagi tujuan modal memulakan perniagaan.

Mengikut perjanjian bertulis antara kedua-duanya Mawar dikehendaki membayar pinjaman itu secara ansuran atau jumlah penuh dalam tempoh tujuh bulan bermula tarikh pinjaman iaitu pada 7 Jun 2021.

Menurut peguam yang mewakili Nabil iaitu Nik Zarith dari firma Mohd Ashraf Nik Zarith & Co, selepas lebih 10 bulan, Mawar gagal untuk melangsaikan hutangnya, justeru satu notis tuntutan bayaran dihantar kepada usahawan itu namun tiada jawapan.

Saya tidak pernah berhutang dan syukur perniagaan yang saya jalankan masih stabil

MAWAR KARIM

USAHAWAN

Dalam pada itu, Mawar juga juga menegaskan dia tidak pernah berurusan dengan individu bernama Nabil Mat Jahya itu.

"Saya tidak kenal plaintif dan tidak pernah berurusan dengan dia. Tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar.

"Saya tidak pernah berhutang dan syukur perniagaan yang saya jalankan masih stabil.

"Saya tidak tahu bagaimana cerita ini boleh muncul. Mungkin ada pihak yang dengki atau mahu sabotaj saya," ujarnya.

mawar karim 11

Mawar sedia untuk melalui proses mahkamah.

Sementara itu, peguam mewakili Mawar iaitu Datuk Mohd Imran Tamrin dari Tetuan Zabir Imran & Partners dan Mohd Azali berkata, pihaknya akan membuat permohonan mengetepikan dan melanjutkan perintah penghakiman ingkar seperti yang telah dikeluarkan.

"Mawar tidak jelas dengan tuntutan yang dibuat kerana dia menerima makluman dari kenyataan media plaintif dan bukan dari mahkamah.

"Kami akan buat permohonan untuk mengetepikan perintah ingkar dan penangguhan perintah tersebut seperti yang telah dikeluarkan oleh mahkamah," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain