suria

Mawar Karim lapor polis nafi lari bayar hutang RM720,000… Tiada notis bankrap

Mawar buat laporan polis sebagai penafian terhadap dakwaan pihak plaintif.

USAHAWAN Mawar Abdul Karim membuat laporan polis pada 15 April lalu bagi menafikan dakwaan kononnya dia menerima pinjaman serta hutang sebanyak RM720,000 daripada seorang sahabat.

Peguam mewakili Mawar, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Mohd Azali Ibrahim berkata, pihaknya juga telah memberi beberapa maklumat berasakan fakta metarial yang sangat penting berkaitan kes ini kepada pihak polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Karim jawab tuduhan tak bayar hutang, dakwa jadi mangsa siri fitnah individu digelar ‘S’

“Kami berharap siasatan menyeluruh dibuat bagi memastikan sama ada wujud sebarang niat jahat, cubaan atau salah laku jenayah berkaitan penipuan atau apa-apa kesalahan lain yang dilakukan terhadap Mawar,” ujar peguam dalam satu kenyataan kepada media.

Mawar turut berkongsi paparan skrin kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Tetuan Zabir Imran & Partners dan Mohd Azali dari Tetuan Azali & Co.

Mawar 1

Mawar nafi diisythirah sebagai seorang bankrap.

Pada 13 April lalu, mStar melaporkan Mawar berdepan dengan tindakan pengisytiharan bankrap susulan dakwaan dia ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman berjumlah RM720,000 daripada seorang rakan.

Bekas isteri kepada aktor Fizo Omar itu didakwa meminjam wang dengan jumlah tersebut daripada seorang kenalan bernama Nabil Mat Jahya bagi tujuan modal memulakan perniagaan.

Mengikut perjanjian bertulis antara kedua-duanya Mawar dikehendaki membayar pinjaman itu secara ansuran atau jumlah penuh dalam tempoh tujuh bulan bermula tarikh pinjaman iaitu pada 7 Jun 2021.

Menurut peguam yang mewakili Nabil iaitu Nik Zarith dari firma Mohd Ashraf Nik Zarith & Co, selepas lebih 10 bulan, Mawar gagal untuk melangsaikan hutangnya, justeru satu notis tuntutan bayaran dihantar kepada usahawan itu namun tiada jawapan.

Kami mengesahkan bahawa setakat hari ini, 18 April 2022, Mawar masih lagi seorang yang tidak bankrap.

DATUK MOHD IMRAN TAMRIN & MOHD AZALI IBRAHIM

PEGUAM MEWAKILI MAWAR

Pihaknya kemudian memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Seksyen Bangi, Selangor pada Januari lalu.

Dalam pada itu, peguam Mawar turut menegaskan anak guam mereka tidak menerima sebarang notis kebankrapan sehingga kini.

"Berkenaan dengan isu sama ada anak guam kami telah diisytiharkan sebagai seorang bankrap atau tidak, kami mengesahkan bahawa setakat hari ini, 18 April 2022, Mawar masih lagi seorang yang tidak bankrap.

"Tidak ada sebarang notis kebankrapan yang diserahkan kepada beliau setakat hari ini. Segala urusan berkaitan kes ini termasuk perkembangan dan maklumat lanjut berkaitan kes dimaklumkan oleh pihak peguam," katanya.

Dalam pada itu, pihak peguam turut menjelaskan mengenai penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 yang direkodkan terhadap anak guam merka di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi.

Mawar 2

Mawar dakwa difitnah individu digelar 'S'.

"Kami mengesahkan bahawa terdapat satu penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 yang telah direkodkan terhadap anak guam kami di Mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Untuk makluman, penghakiman ingkar kehadiran ini adalah satu bentuk penghakiman yang diperintahkan tanpa kehadiran defenda di mahkamah.

"Kami selaku pasukan peguam telah memfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran tersebut terhadap anak guam kami pada hari ini, 18 April 2022," katanya.

Mawar menerusi Instastory miliknya sebelum ini mendakwa dia difitnah seorang individu digelar ‘S’ yang dianggap mempunyai niat tertentu yang bertujuan mahu memalukannya malah ia bukan kali pertama berlaku.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain