suria

Laporan teknikal kes posting berbaur hinaan kepada Sultan Johor belum selesai, polis siasat 7 individu termasuk ibu Neelofa

Datin Noor Kartini antara tujuh saksi telah dirakam keterangan berhubung dakwaan mengkritik Sultan Johor menerusi akaun Instagram miliknya

POLIS Selangor merakam kenyataan tujuh saksi berkaitan kes ibu selebriti popular Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Mohd Noor berhubung dakwaan mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya kini sedang menunggu hasil laporan teknikal yang akan diterima dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN:Pekerja Noor Kartini mohon maaf, mengaku tersalah buat ‘posting’ pertikai Sultan Johor - “Screenshot untuk rujukan saya sahaja”

"Semua keterangan tujuh saksi termasuk Noor Kartini selesai diambil dan sekarang menunggu hasil laporan teknikal sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kami mengharapkannya dapat diselesaikan perkara ini dengan segera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Jumaat.



Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed

Pada Selasa lalu, polis Selangor memaklumkan telah mengambil keterangan Noor Kartini berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 10 pagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sebelum ini, media melaporkan kes berkenaan disiasat polis Kuala Lumpur, namun kemudian diserah kepada polis Selangor selepas mendapati insiden berkenaan berlaku di negeri itu.

Kami sekarang menunggu hasil laporan teknikal. Kami mengharapkannya dapat diselesaikan perkara ini dengan segera.

DATUK ARJUNAIDI MOHAMED

KETUA POLIS SELANGOR

Pada 30 Mei lalu, Noor Kartini didakwa memuat naik tulisan pada gambar dan berita dengan paparan visual Sultan Johor bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.

Menerusi posting tersebut, terpapar tulisan jelik yang menerima kecaman netizen kerana tidak menghormati Sultan Johor.

Noor Kartini, 54, kemudian menafikan perlakuan itu dan hanya menyedari mengenai masalah tersebut selepas ia menjadi viral di media sosial.

Beliau juga mendakwa kejadian itu berlaku atas kecuaian salah seorang kakitangannya yang mempunyai akses terhadap akaun Instagram miliknya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain