suria

Caprice berang influencer diam diri selepas buat onar majlis buka puasa langgar SOP - “Orang lain buat... kita yang kena!”

Caprice mahu influencer berkenaan bertanggungjawab atas kesilapan yang telah dilakukan.

PENYANYI Rap, Caprice berang dengan sikap lepas tangan seorang selebriti media sosial dikenali sebagai Nurin Afiqah yang hanya mendiamkan diri selepas melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Menurut Caprice, 32, tindakan Nurin merakam gambar dan video bersama beberapa selebriti dan anak yatim di luar dewan telah menyusahkan dirinya selaku penganjur hingga menyebabkan nama rakan artis lain turut terkait sama.

Lebih membuatkan Caprice kesal apabila Nurin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi membetulkan keadaan dan dilihat seolah-olah meletakkan kesilapan itu ke atas penganjur Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa langgar SOP, polis siasat majlis iftar dihadiri selebriti

"Semua media cari Caprice sebab awak tak keluarkan apa-apa kenyataan. Panggil anak yatim, Amin Idris, Iman Troye, Ashraf Muslim dan semua... cakap awak bawa mereka keluar event hall untuk rakam dengan produk awak.

"Sebab awak (kami) semua kena. Media sebut semua nama kami (rakan artis), nama awak tak ada pun disebut. Tiga kali saya minta awak ceritakan perkara sebenar tapi tak buat-buat lagi.

Caprice berbalas komen dengan influencer dikenali Nurin Afiqah.

"Sedangkan Nurin seorang je pandai-pandai bawa orang keluar event ambil gambar tak jaga SOP... akhirnya semua yang tak terlibat kena jawab," katanya.

Caprice berkata demikian menjawab komen yang ditinggalkan oleh Nurin pada salah satu hantarannya di laman Instagram.

Sementara itu, Nurin yang juga pelakon baharu menjelaskan dia sudah bertanggungjawab dengan apa yang berlaku, namun kesal apabila penyanyi rap itu menyebarkan perkara yang tidak benar mengaitkan dirinya di media sosial.

"Selama tujuh tahun kita kenal dan saya sentiasa menyokong awak. Hanya kerana saya tak angkat satu panggilan kerana sedang jalani penggambaran awak buat begini.

Pandai buat kerja, pandai-pandailah tanggung. Orang lain buat kerja, kita kena!

CAPRICE

PENYANYI

"Saya terima semua kesilapan ini dan bertemu polis mempertahankan awak dan ambil semua salah ini. Nurin reda sebab memang salah Nurin tapi saya tak percaya awak sebarkan berita palsu ini Ariz," tulis Nurin pada ruangan komen itu.

Sebelum itu, tular foto dan video memperlihatkan beberapa orang selebriti melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka dan mengabaikan penjarakkan fizikal semasa berada di majlis berbuka puasa pada 29 April lalu.

Ia mula menjadi perbualan hangat netizen selepas seorang influencer memuat naik rakaman itu di laman Instagram.

Dalam pada itu, Caprice tidak menyangka influencer yang dikenali sebagai seorang sahabat rapat itu tergamak menganiaya rakan artis dan anak yatim demi mendapatkan publisiti dengan cara sedemikian.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Demi produk dan marketing sanggup aniaya artis dan anak yatim. Nurin Afiqah tolong mengaku dengan polis kamu telah datang majlis berbuka puasa, bawa cameraman sendiri dan pandai-pandai tarik artis dan anak anak yatim di luar dewan acara untuk bergambar dengan produk awak.

"Pandai buat kerja, pandai-pandailah tanggung. Orang lain buat kerja, kita kena. Bila hang (awak) dijemput ke majlis orang kena jaga adab, apa yang berlaku di luar rumah orang hang kena pandai tanggung," luah Caprice.

Sebelum ini tular foto memperlihatkan selebriti langgar SOP di sebuah majlis berbuka puasa.

Pada Selasa, media tempatan melaporkan penyanyi rap yang juga penganjur majlis berbuka puasa di sebuah hotel sudah dipanggil polis memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Selain itu, selebriti wanita bersama suaminya turut dipanggil polis bagi dirakam percakapan selepas turut hadir pada majlis berbuka puasa itu selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini tujuh orang sudah dipanggil terdiri penganjur, wakil hotel, selebriti dan suaminya.

Pihaknya akan memanggil lima lagi individu terdiri daripada selebriti dan pasangan serta adik salah seorang selebriti yang turut hadir majlis itu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain