Rashidi alami kemurungan, ada sebab rahsiakan perceraian 7 bulan - Sensasi | mStar

Rashidi alami kemurungan, ada sebab rahsiakan perceraian 7 bulan

Rashidi nafi rahsia perceraian dengan Vanidah kerana terikat kontrak. FOTO: YAP CHEE HONG

PELAKON Rashidi Ishak mengakui dia berdepan dengan tempoh sukar selepas bercerai dengan aktres Vanidah Imran pada 9 Ogos 2018.

Rashidi berkata, dia mengalami kemurungan dalam tempoh tiga bulan pertama perpisahan.

"Tiga bulan pertama sudah tentu masa paling sukar untuk saya lalui, saya berdepan dengan kemurungan.

"Saya cuba elakkan menghadiri majlis keramaian atau bertemu orang ramai. Namun hari demi hari ia semakin baik dan saya mula menerima keadaan itu," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan Imam yang baik” - Rashidi Ishak mengaku sudah bercerai dengan Vanidah Imran

ARTIKEL BERKAITAN: “Ketika penggambaran itu mereka dah cerai” - Fify Azmi anggap Rashidi macam abang

ARTIKEL BERKAITAN: Fify Azmi bukan punca perpisahan, Rashidi tidak tutup pintu hati untuk Vanidah Imran


Rashidi bersama bekas isteri Vanidah Imran dan anak-anak mereka.

Dia ditemui ketika sesi fotografi bersama mStar Online bagi mempromosikan filem BU yang bakal ditayangkan pada 11 April depan.

Rashidi pada Rabu lalu mengesahkan sudah bercerai dengan pelakon Vanidah Imran selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 18, dan Mariyam Rashika yang berusia 15 tahun.

Sepanjang 17 tahun kami tiada masalah berkaitan orang ketiga, apa yang boleh saya katakan ia disebabkan tiada lagi keserasian

RASHIDI ISHAK

PELAKON

Dalam pada itu, Rashidi berkata tindakannya merahsiakan perceraian itu selama tujuh bulan bukan disebabkan terikat dengan mana-mana kontrak kormersial.

Katanya, keputusan untuk tidak menghebahkan perkara berkenaan berikutan enggan menjejaskan emosi anak-anaknya.

"Kami ambil masa tujuh bulan disebabkan masa ini adalah yang paling sesuai kerana semua sudah bersedia.

"Kami mahu menjaga emosi anak kami yang bakal menduduki SPM ketika itu dan ia tidak kerana terikat dengan kontral kormersial," ujarnya.

Sementara itu, Rashidi berkata, keputusan untuk berpisah diambil selepas dirasakan ia jalan terbaik untuk kedua-dua belah pihak meneruskan kehidupan masing-masing.

Katanya, ia disebabkan tiada lagi keserasian dan bukan disebabkan orang ketiga.

"Sepanjang 17 tahun kami tiada masalah berkaitan orang ketiga, apa yang boleh saya katakan ia disebabkan tiada lagi keserasian.

"Ia jalan terakhir untuk hubungan kami dan Alhamdulillah anak-anak juga sudah matang untuk menerima keputusan tersebut," ujarnya.

Rashidi berkata, anak-anaknya kini menetap bersama Vanidah, namun dia masih menjalankan tanggungjawab harian sebagai seorang bapa.

"Kami tidak berebut hak penjagaan anak, tapi saya sendiri merasakan anak-anak lebih baik berada bersama ibunya. Tapi saya masih bertemu setiap hari seperti biasa hantar dan ambil mereka dari sekolah," ujarnya.

Rashidi (kiri) dan Eidil Putra pelakon utama filem BU.

Dalam perkembangan seni, Rashidi akan muncul dengan filem BU yang bakal ditayangkan pada 11 April depan.

Dia yang memegang watak sebagai doktor Norman memberitahu sudah membuat kajian terhadap watak tersebut agar tidak timbul kontroversi berkaitan pekerjaan profesional berkenaan.

"Saya membawakan watak doktor pakar bedah dan sudah tentu saya membuat kajian terlebih dahulu bagaimana cara yang betul seorang doktor.

"Maklumlah sekarang ini sering sahaja timbul isu berkaitan kesilapan pelakon dalam membawakan watak pekerjaan profesional seperti doktor.

"Malah, sepanjang penggambaran berlangsung ada yang memantau cara saya memegang alat-alat perubatan dan terma-terma tertentu," ujarnya.

Filem itu turut dibarisi pelakon popular lain seperti Remy Ishak, Wan Hanafi Su, Eidil Putra, Nadiya Nisaa, Tia Sarah dan Nadia Brian.

BU mengisahkan tentang kasih sayang seorang ibu dan bertemakan kekeluargaan ini diarahkan oleh Jeany Amir.

Rashidi Ishak , Vanidah Imran

Artikel Lain