suria

Lan Solo hampir hilang suara, risau tak boleh cari makan jika berehat lama

Lan pernah disarankan untuk berehat dari nyanyian.

PENYANYI Lan Solo mendedahkan dia pernah berdepan detik mencemaskan apabila hampir kehilangan suara gara-gara masalah tonsil serius.

Menurut Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 41, pada ketika itu dia tidak boleh menyanyi selama tiga bulan malah dinasihatkan untuk berehat selama setahun .

“Ada satu masa itu saya tiga bulan tak boleh menyanyi. Doktor suruh rehat setahun, tapi saya fikir ini punca rezeki saya. 

Lan segera dapatkan rawatan masalah sakit tekak.

“Saya sampai bergurau dengan doktor, kalau tak menyanyi saya nak makan apa,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Lan memberitahu doktor yang merawatnya merupakan individu yang disyorkan oleh rakan artis iaitu Datuk Awie.

Katanya, ketika itu tonsilnya berada dalam keadaan kritikal dan boleh memudaratkan jika dia terus memaksa diri menyanyi.

“Tonsil saya bengkak sampai tahap kalau saya terus menyanyi, memang boleh ‘crack’. Bila jadi begitu, saya kena jalani pembedahan dan perlu berehat lebih lama,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya dah rendahkan ego" - Lan Solo akur Rody Kristal beri respons dingin, hasrat jernihkan hubungan tak kesampaian

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Lan Solo ajak pengadu bersemuka, bincang kalau tak puas hati - “Saya tak pandai tuduh, tapi jangan jejaskan periuk nasi orang!”

Disebabkan bimbang dengan risiko tersebut, Lan mengambil keputusan ke hospital walaupun tidak mengalami kesakitan lain.

Kata Lan lagi, dia juga diminta berehat selama sebulan namun mengakui terpaksa berbohong mengenai tempoh rehat kerana mempunyai komitmen persembahan.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, Lan bersyukur kerana suaranya kembali pulih dan dapat meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

“Saya ambil inisiatif duduk di hospital walaupun badan tak sakit. Memang bosan, tapi saya akur sebab doktor dah nasihatkan begitu.

Lan bersama Kristal bakal adakan konsert pada 1 Mei ini.

"Doktor nasihatkan saya berehat sebulan terpaksa bohong sunat kerana dua minggu selepas keluar hospital itu saya ada show,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Lan bersama kumpulan Kristal bakal mengadakan Konsert Kristal OG pada 1 Mei ini di Zepp Kuala Lumpur. 

Kata Lan, konsert tersebut diadakan atas pemintaan peminat yang ingin melihat anggota Kristal yang pernah berpecah sebelum ini bersatu di atas pentas yang sama.

"Alhamdulillah kami dapat tunaikan pemintaan peminat, tapi mengikut kemampuan kami yang mana kami berjaya kumpulkan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain