PELAKON yang sinonim dengan watak gangster, Daddy Rock meninggal dunia pada pagi Selasa.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh anak tirinya, Haqimi Azim Rosli yang memaklumkan pemergian Daddy Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd Shahril, 51, berlaku secara mengejut.
"Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi.
"Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima, tetapi kami reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Daddy Rock sebelum ini menjalani proses memasukkan sten pada empat tahun lalu.
Haqimi berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Selasa.
Menurutnya, dia dan keluarga sedang melalui detik yang sangat sukar dan memohon doa orang ramai agar Allahyarham bapa tirinya itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa. Semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amal dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya.
"Doakan juga agar kami sekeluarga diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Daddy Rock cari peluang berniaga, sedih hilang pendapatan selepas jatuh sakit... Tiada lagi tawaran lakonan
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun meninggal dunia
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong, Sungai Buloh selepas waktu Zohor.
Pada Sabtu, pengarah Hashim Rejab memaklumkan Daddy Rock menerima rawatan di zon kritikal Hospital Selayang dan ditidurkan berikutan kedua-dua kakinya tidak lagi berfungsi dipercayai akibat darah beku.
Sebelum ini, menerusi temu bual bersama mStar, Daddy Rock meluahkan hasrat mencari peluang menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan.
Kata Daddy Rock, dia sudah tidak mempunyai pendapatan tetap dan berharap perniagaan itu dapat membantu meringankan bebannya dalam meneruskan kehidupan.
Pada Oktober 2021, Daddy Rock menjalani proses memasukkan sten di pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam bagi mengembangkan saluran darah yang tersumbat supaya jantungnya boleh berfungsi semula.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


