SELEPAS kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Ernie Zakri mencipta rekod apabila muncul sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama bertahan dalam carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Lagu nyanyian Ernie berjudul Masing-Masing menduduki tangga pertama carta berkenaan selama 27 minggu dan belum ada karya lain mencapai kejayaan tersebut.
Melihat pencapaian tersebut, pihak pengurusan Universal Music Malaysia (UMM) percaya ini merupakan peluang penyanyi itu terus mengatur langkah dalam kerjaya seni.
Bukan hanya di Malaysia, malah Ernie juga kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat negara serantau.
Lagu Masing-Masing ciptaan Ade (kiri) mendapat sambutan luar biasa.
"Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif nusantara kami. Dia meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis Melaysia melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carat di tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
"Kini, inisiatif untuk terus maju ke depan adalah dengan fokuskan kepada strategi Ernie iaitu menguatkan lagi hubungannya bersama peminat menerusi pengalaman menyantuni peminat setianya.
"Ia termasuk melancarkan lebih banyak lagu, tingkatkan interaksi dengan peminat di aneka platform dan merancakkan lagi acara persembahan secara langsung," kata wakil Universal Music Malaysia kepada mStar.
Tidak hanya itu, pihak UMM juga sudah merancang beberapa kolaborasi Ernie bersama nama-nama besar dalam industri muzik dalam dan luar negara.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ernie Zakri ‘speechless’ menang Vokal Terbaik AJL39, kebetulan konsep persembahan seperti Ariana Grande
ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan industri muzik 2024 pecah rekod dengan RM339 juta, AIM edisi ke-24 dianjurkan tahun ini
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh RIM sebelum ini, Masing-Masing juga muncul sebagai lagu tempatan paling tinggi distrim iaitu sebanyak 130 juta.
Lagu tersebut merupakan ciptaan Ade Govinda yang merupakan komposer asal Indonesia.
Bagi Ernie sendiri kejayaan tersebut juga sebagai tanda sokongan padu peminat terhadap lagu-lagunya.
Ernie raih trofi vokal terbaik AJL39.
"Saya cukup terharu dengan sokongan tanpa henti terhadap Masing Masing. Kembara ini menjadi bukti kepada kasih sayang serta jalinan peminat terhadap muzik saya," ucapnya.
Terus menyusun baik perjalanan kerjaya Ernie juga tampil membuat konsert Aura pada 25 Januari lalu dan tiket habis dijual dalam tempoh tujuh jam selepas dilancarkan.
Menambah pencapaian tahun ini, dia juga diumumkan sebagai pemenang kategori vokal terbaik Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) menerusi lagu Aura yang berlangsung Ahad lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!