suria

Lincah di atas pentas tapi sebenarnya pemalu... Peminat Malaysia buat hati Cha Eun Woo cair

Eun Woo melutut dan melamar ribuan peminat yang hadir ke stadium. Foto VIU MALAYSIA

FENOMENA drama Viu Original True Beauty yang disiarkan pada 2021 membuka peluang kepada anggota kumpulan Astro iaitu Cha Eun Woo melebarkan sayap dalam dunia lakonan.

Tidak hanya itu, lakonannya menerusi drama bersiri terbaharu A Good Day to be a Dog juga telah membuktikan bakat lakonan Eun Woo diterima baik dalam kalangan peminatnya.

Walaupun namanya semakin menyerlah sebagai pelakon namun jejaka berusia 26 tahun ini tetap aktif bersama Astro selain baharu sahaja melancarkan album pertamanya berjudul Entity pada 15 Februari lalu.

Bagi meraikan kejayaannya, Eun Woo tampil dengan konsert Just One 10 Minute [Mystery Elevator] 2024 di beberapa buah negara termasuk Korea Selatan, Jepun, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia.

CEW MYSTERY ELEVATOR LIVE IN KL 202411

Eun Woo sediakan pelbagai aktiviti memikat hati peminatnya.

Konsert berkenaan yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 24 Februari lalu turut membuktikan Eun Woo mempunyai pemujanya yang tersendiri apabila 10,000 peminat hadir memberi sokongan.

Tidak hanya itu, peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Aroha sanggup beratur seawal 12 tengah hari di stadium disebabkan teruja untuk bertemu dengan artis pujaan mereka.

Sepanjang tiga jam konsert berlangsung juga, Eun Woo tidak menghampakan peminat apabila mempersembahkan 12 buah lagu selain turut berinteraksi dengan mereka sepanjang persembahan berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar konsert biasa, Cha Eun Woo janji buat penonton jatuh cinta kepadanya dalam tempoh 10 minit

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Cha Eun Woo jadi perhatian netizen, bukan sahaja kacak tapi pintar dalam pelajaran

Percubaan Eun Woo bercakap dalam bahasa Melayu juga turut mendapat pujian peminat malah mereka cukup tercuit hati dengan sikap lucunya di atas pentas.

Bagaimanapun di sebalik aksi lincah ketika menghiburkan peminat, Eun Woo sebenarnya seorang pemalu malah tutur katanya disusun dengan cukup berhati-hati ketika ditemu bual di mStar secara eksklusif sebelum konsert berlangsung.

Tampil dalam persalinan serba hitam pada pertemuan itu, Eun Woo meluahkan rasa teruja apabila dapat kembali ke Malaysia bertemu Aroha meskipun baharu sahaja datang ke negara ini pada Disember lalu.

CEW MYSTERY ELEVATOR LIVE IN KL 20244

Eun Woo pikat hati peminat dengan nyanyian dan kata-katanya.

Eun Woo memberitahu peminat di Malaysia istimewa di hatinya memandangkan mereka sangat mesra keetika bertemu dalam sebuah acara yang diadakan di Tun Razak Xchange (TRX) Kuala Lumpur.

"Dua kali datang ke Malaysia, peminat di sini sambut saya dengan mesra dan ia menyentuh hati saya. Mereka sangat istimewa.

"Sokongan ditunjukkan membuatkan saya lebih bersemangat mengadakan persembahan dan peminat akan dapat merasai perbezaan itu," katanya.

Tidak menghampakan Aroha, Eun Woo sememangnya berjaya mencuri hati peminat dalam tempoh 10 minit seperti dijanjikan dengan gelagatnya yang membuatkan seluruh stadium gamat.

CEW MYSTERY ELEVATOR LIVE IN KL 202416

Eun Woo lukis zodiak untuk peminat Malaysia.

Apa membuatkan peminat teruja, sikap dan personaliti ditunjukkan sama seperti wataknya sebagai Lee Su Ho dalam True Beauty iaitu seorang yang periang, baik hati dan pelindung.

Di sebalik watak lelaki romantik yang dibawa dalam drama sebelum ini, Eun Woo turut meluahkan keinginan mencuba pelbagai genre bagi memantapkan kedudukannya sebagai pelakon di Korea Selatan.

"Saya mahu mencuba pelbagai genre dalam lakonan. Kalau ada peluang saya nak bawa watak komedi, thriler, aksi dan pahlawan tradisional," katanya.

Peminat bagaimanapun tidak perlu menunggu lama kerana kata Eun Woo drama lakonan terbaharunya iaitu Wonderful World menemui penonton sejak 1 Mac.

CEW MYSTERY ELEVATOR LIVE IN KL 202427

Eun Woo terharu melihat pelbagai reaksi peminatnya.

Katanya, karakternya dalam drama tersebut sangat berlainan dengan apa pernah dibawa sebelum ini.

"Karakter saya sangat berlainan dengan drama sebelum ini. Saya harap peminat akan seronok menontonya nanti," kongsinya.

Tidak hanya fokus dengan dunia lakonan, Eun Woo yang baharu sahaja melancarkan single berjudul Where Am I turut teruja dengan komen peminat terhadap lagu tersebut.

"Saya bangga respon positif daripada peminat, mereka teruja dengan lagu baru dan album saya. Saya pun turut gembira kerana mereka berpuas hati dengan karya saya," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain