suria

Sudah berusaha tapi belum ada jodoh, Sherry Ibrahim fokus jaga ibu bapa - “Hidup solo bukan berdosa”

Sherry sempat berdoa dipertemukan jodoh ketika menunaikan umrah.

MASIH belum bertemu jodoh pada usia 41 tahun tidak pernah membuatkan pelakon Sherry Ibrahim berasa putus asa malah sering berdoa agar dipertemukan dengan seorang lelaki baik.

Sherry atau Syarizad Ibrahim berkongsi dia juga sempat memanjatkan doa berkaitan jodoh semasa menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini.

"Alhamdulillah sempat berdoa (tentang jodoh) ketika buat umrah baru-baru ini. Allah juga permudahkan malam terakhir saya di sana.

"Cuma tidak berkesempatan nak berdoa di Jabal Rahmah tetapi Allah sangat hebat sebab Dia makbulkan niat saya nak ke beberapa tempat lain untuk berdoa," katanya kepada mStar.

sherry 1

Sherry serah soal jodoh pada Allah SWT.

Sherry berkongsi perkara itu ketika ditemui di Anugerah Telenovela ke-9 yang berlangsung pada malam Jumaat lalu.

Bercakap lanjut mengenai jodoh, Sherry memberitahu dia bukan tidak berusaha ke arah itu tetapi hubungannya dengan beberapa lelaki sebelum ini tidak kekal lama.

Tidak bersedih dengan perkara itu, Sherry sebaliknya percaya Allah sudah mengatur jalan hidupnya dengan baik sekali gus dan yakin suatu hari nanti dia akan bertemu seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu pekerja hilang pendapatan, Sherry Ibrahim guna duit simpanan dan jual barang salon untuk pertahan bisnes

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tiada kaitan dengan produk itu lagi, tanya pihak lain" - Sherry Ibrahim

"Bukan tak mahu berkahwin tapi hidup solo pun bukan dosa sebab Allah sentiasa janjikan yang terbaik buat hamba-Nya.

"Kalau tiada jodoh di dunia mungkin di syurga nanti. Saya sudah berserah sebab mungkin saya kena perbaiki diri terlebih dahulu," katanya.

Tambah Sherry, dia juga memandang perkara itu sebagai positif kerana dapat berbakti dan menjaga kedua ibu bapanya yang semakin lanjut usia.

Saya sudah berserah sebab mungkin saya kena perbaiki diri terlebih dahulu.

SHERRY IBRAHIM

PELAKON

Malah dia sudah terbiasa tanpa teman istimewa di sisi kerana kehidupannya tidak pernah sunyi kerana mempunyai rakan-rakan dan keluarga di sampingnya.

"Saya juga ada peminat yang sentiasa sokong saya, Alhamdulillah saya gembira dengan cara macam ini.

"Tak kahwin bukan bererti sengsara, orang berumah tangga pun banyak juga masalahnya. Konsepnya sama sahaja cuma cara kita bawa diri macam mana.

sherry 2

Sherry sentiasa penuhkan hidup dengan pelbagai aktiviti.

"Alhamdulillah walaupun masih belum bertemu jodoh, saya dapat menjaga ibu bapa dengan baik. Itu juga satu rezeki," ujarnya.

Sementara itu, Sherry memberitahu jika ada lelaki berhasrat menikahinya dia tidak meletakkan sebarang syarat keterlaluan.

"Jika tiba-tiba ada lelaki masuk meminang dan saya rasa individu itu sesuai, saya tak minta lebih atau letak syarat yang melampau.

"Kalau nak nikah bawalah cincin," katanya secara berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain