suria

“Saya bukan lelaki jahat” - Shah Radhy masih terkenang peristiwa hitam, tukar nama selepas bebas tuduhan pikat isteri orang

Shah Radhy tukar nama selepas selesai kes mahkamah.

PENGALAMAN tiga hari ditahan dalam lokap menjadi satu pengajaran tidak boleh dilupakan oleh pelakon Shah Radhy.

Terkesan dengan peristiwa hitam yang berlaku pada tahun 2020 itu, Shah atau Muhd Shah Radhi Hazvee, 27, berkata dia mengambil masa lebih dua minggu untuk berdepan dengan orang ramai selepas mahkamah memutuskan dia bebas pertuduhan memikat dan membawa lari isteri orang.

"Ketika dipanggil memberi keterangan, saya terus ditahan lokap selama tiga hari. Ketika itu fikiran saya kosong... tak tahu apa berlaku sehingga susah untuk tidur.

"Saya yakin tidak bersalah jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan, cuma jadi keliru kerana itu pengalaman pertama dan sampai sekarang sukar untuk saya lupakan.

Mierul Aiman 4

Shah Radhy ambil masa dua minggu untuk berjumpa dengan orang ramai.

"Selepas bebas pertuduhan pun saya tak keluar rumah. Rasa takut nak berjumpa orang ramai. Dua minggu rasanya saya berkurung selepas dibebaskan dari lokap," katanya.

Untuk rekod, Shah ditahan dilokap Ibu Pejabat Polis Ampang, Selangor pada 25 Mei 2020 selepas satu laporan dibuat terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 5 Disember tahun lalu Mahkamah Majistret Ampang membuat keputusan membebaskan Shah daripada pertuduhan berkenaan.

Shah sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu Kelakuan Aib.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun tanggung malu, pelakon Shah Hazvee akhirnya bebas tuduhan pikat isteri orang untuk buat seks

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon baharu Shah Radhi Hazvee dituduh pikat isteri orang dengan niat untuk melakukan hubungan seks

Susulan kejadian itu, Shah berkata dia mengambil keputusan untuk menukar nama pentas yang sebelum ini dikenali sebagai Shah Hasvee.

"Nama itu rasanya terlalu berat buat saya. Selepas kes yang berlaku saya rasa perlu penjenamaan semula.

"Sebab itu saya rasa perlu tukar nama. Kalau boleh jangan orang terus ingat nama sebelum ini dengan kes mahkamah itu.

"Saya sekarang Shah Radhy dan sedia untuk terus aktif berlakon dan kembangkan kerjaya seni,” ujarnya.

Sebab itu saya rasa perlu tukar nama. Kalau boleh jangan orang terus ingat nama sebelum ini dengan kes mahkamah itu

SHAH RADHY

PELAKON

Menyedari insiden itu masih menjadi bualan, Shah berharap orang ramai dapat mendekati dirinya dengan lebih rapat supaya lebih mengenali peribadi sebenar dirinya.

"Kes sebelum ini telah terbukti saya tidak bersalah. Tiada apa untuk saya malukan. Cuma orang akan terus meletakkan tanggapan negatif terhadap saya.

"Kalau ada yang berfikir begitu, silakan dekati dan kenali saya lebih rapat. Saya bukanlah seorang lelaki jahat," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain