suria

Berlinang air mata A. Aida melepaskan anak, sepanjang hidup tak pernah berpisah… “Hanya ibu faham perasaan ini”

BERAT untuk melepaskan, penerbit Datuk A. Aida dilihat tidak dapat menahan air mata tatkala anak sulungnya iaitu Wan Az Aleesa sah bergelar isteri kepada Zain Azrai Abdul Aziz pada Sabtu.

Kata Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 53, sebagai ibu dia harus reda menerima takdir anaknya kini sudah beralih fasa menjadi seorang isteri.

"Hanya seorang ibu sahaja yang faham perasaan ini. Anak yang kita lahirkan dan besarkan perlu dilepaskan kepada orang lain. Selama 27 tahun kami tidak pernah berpisah.

aleesa 5

A. Aida dan Ameng ketika hari pernikahan anak mereka.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu. Hanya air mata sahaja dapat memberi jawapan. Namun saya reda dan perlu terima hakikat ini," katanya kepada mStar sambil menahan kesedihan.

Terdahulu, Aleesa dan Zain sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Kasturi D Manggis, Janda Baik, Pahang.

Pasangan ini dinikah sendiri oleh bapa Aleesa iaitu penyanyi Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida sebak terima menantu, pelepasan burung simbolik majlis nikah anak

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng hadir majlis pertunangan anak bukti A. Aida tak pernah bermusuh, mahu bekas suami jadi wali

Pada majlis berkenaan, A. Aida juga mengadakan acara simbolik melepaskan 50 ekor burung merpati sebagai tanda bermulanya fasa baharu dalam hidup Aleesa dan Zain.

"Syukur majlis berjalan lancar dan apa yang dirancang menjadi. Simbolik melepaskan burung merpati itu adalah idea saya sendiri.

"Bukan senang nak lepaskan anak yang selama ini ada depan mata. Jadi saya rasa perlu ada satu kenangan buat kami semua," ujar.

Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu. Hanya air mata sahaja dapat memberi jawapan. Namun saya reda dan perlu terima hakikat ini

DATUK A. AIDA

PENERBIT

Sementara itu, Aleesa dan Zain pula berharap perkahwinan yang dibina ini akan sentiasa dirahmati serta kekal ke akhir hayat.

Meskipun baru bergelar pasangan suami isteri, mereka akan tinggal berjauhan kerana Aleesa akan menyambung pelajaran di Indonesia selama empat tahun bermula Ogos ini.

Bagi Zain, kepercayaan antara mereka harus kuat supaya tidak timbul sebarang salah faham dalam rumah tangga.

aleesa 4

Simbolik melepaskan burung merpati di majlis pernikahan Aleesa.

"Saya akan tetap bekerja di Kuala Lumpur dan pastinya jika ada masa lapang akan terus ke sana untuk berjumpa isteri.

"Kita sudah melihat ramai pasangan jarak jauh dan mereka terus bahagia. Kami perlu letakkan kepercayaan antara satu sama lain supaya tidak berlaku sebarang masalah," jelasnya.

Untuk rekod Aleesa merupakan anak sulung hasil perkahwinan A. Aida bersama Ameng sebelum ini.

Mereka berkahwin pada 1994 namun bercerai pada 2003 dan mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Wan Azevanatassha, 22.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain