suria

Kelantangan Awesome TV terhadap Fahmi Fadzil memalukan, persatuan seni minta buat permohonan maaf

Pansha teguran ikhlas dari YB Menteri adalah satu kelegaan dari rintihan keluhan industri.

WAKIL persatuan industri hiburan tempatan meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Awesome TV yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak masuk campur mengenai bayaran tertunggak melibatkan beberapa pelakon.

Susulan itu, tiga persatuan menggesa pihak pengurusan stesen TV berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi atas kelantangan kenyataan dibuat berhubung isu berkenaan dianggap memalukan.

Ini kerana kenyataan dikeluarkan pihak Awesome TV seolah-oleh Fahmi tidak mempunyai kuasa menyelesaikan masalah berkaitan industri selain memperjuangkan nasib penggiat seni yang tertindas.

Pihak Awesome TV lantang bidas kenyataan Fahmi Fadzil.

Presiden Persatuan Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, teguran dibuat Fahmi satu kebenaran selain mempamerkan sikap prihatin dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku.

"Kami khuatir perkara ini dieksplotasi pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

Dalam pada itu, Mat London berkata, pihaknya sendiri pernah menerima beberapa aduan tentang kelewatan pembayaran stesen TV berkenaan oleh penggiat seni selepas kerja disiapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Awesome TV minta Fahmi Fadzil tidak masuk campur soal bayaran tertunggak

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri gesa Awesome TV selesai hutang tertunggak, arah SKMM terus pantau

"FDAM berharap agar Awesome TV dapat segera menyelesaikan segala masalah dalaman berkaitan dengan pembayaran kepada penerbit atau penggiat seni demi kelangsungan hidup mereka yang hanya bersandarkan kepada kerjaya seni," ujarnya.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha pula memberitahu terdapat penerbit mengambil sumber kewangan daripada MyCreative Ventures Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan bagi membiayai kandungan penerbitan program Awesome TV sehingga terpaksa menanggung hutang.

Kata Pasha, kelewatan pembayaran menyebabkan masalah bagi mereka melunaskan hutang kepada institusi kewangan selain terpaksa menanggung kadar faedah kelewatan dan tunggakan.

Bantuan dan khidmat nasihat serta teguran ikhlas menteri adalah kelegaan dan rintihan keluhan industri.

PASHA

PRESIDEN PERSATUAN PENERBIT FILEM MALAYSIA (PFM)

"Dilema kelewatan pembayaran ini menjadi stigma kepada penerbit yang tidak mempunyai modal besar serta menggangu dan menggagalkan hasrat kerajaan dalam melestari eko-sistem sedia ada.

"Bantuan dan khidmat nasihat serta teguran ikhlas menteri adalah kelegaan dan rintihan keluhan industri," katanya.

Sementara itu, presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula berpendapat kenyataan berani Awesome TV itu secara langsung mencabar kesabaran dan sentimen anak-anak seni tempatan.

Zed menyarankan agar stesen TV itu serta vendor yang dilantik dapat bertemu dengan Fahmi bagi meleraikan masalah dalaman khususnya aspek penyiar atau penerbitan program Awesome TV secara beradab.

Zed Zaidi anggap Awesome TV mencabar anak seni tempatan.

"Masalah dalaman Awesome TV berkaitan pembayaran kepada penerbit dan penggiat seni secara langsung memberi kesan kepada pelakon-pelakon tempatan," katanya.

Wakil Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Khalil Saleh pula memberitahu kegagalan mematuhi perjanjian awal di antara penerbit dan penyiar secara tidak langsung membebankan pekerja di belakang tabir yang telah menyelesaikan tugas mereka.

Awesome TV katanya perlu bersikap profesional selain memikul tanggungjawab serta menerima teguran dibuat Fahmi demi kepentingan semua pihak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain