suria

Michelle Yeoh bakal bawa pulang trofi Oscar ke tanah air, ibu luah rasa bangga

Janet berbangga dengan kemenangan Michelle di Oscar.

IBU kepada pelakon Michelle Yeoh iaitu Datin Janet Yeoh bangga dan gembira apabila melihat anak perempuannya itu diumumkan sebagai penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar ke-95 pada Isnin.

Janet berkata, sebagai ibu dia sangat gembira melihat kejayaan diraih Michelle dan menyifatkan anak kelahiran Ipoh, Perak itu sebagai seorang yang rajin berusaha dalam mencapai cita-citanya.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan Michelle. Dia memenangi anugerah itu kerana dia seorang yang rajin.

"Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha dan beraksi dalam setiap filem lakonannya. Dia sangat cantik, berbakat dan juga bijak," katanya kepada The Star.

janet1 - 1

Janet teruja saat nama Michelle diumumkan sebagai pemenang.

Janet berkongsi kegembiraan itu bersama ahli keluarga dan tetamu selebriti pada acara tontonan khas Anugerah Oscar ke-95 yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Menerusi ucapan kemenangan yang dibuat, Michelle tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang membuatkan wanita berusia 83 tahun itu tersenyum bangga.

"Saya mahu mendedikasikan anugerah ini kepada ibu saya serta semua ibu di seluruh dunia kerana mereka adalah wira sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Trofi Pelakon Wanita Terbaik milik Michelle Yeoh, cipta sejarah rakyat Malaysia pertama menang Oscar

ARTIKEL BERKAITAN: Terbaik! Michelle Yeoh pelakon Malaysia pertama menang di Anugerah Golden Globe

"Tanpa mereka, tidak seorang pun daripada kita akan berada di sini pada malam ini. Saya akan membawa pulang anugerah ini kepadanya.

"Dia kini sedang menonton saya di Kuala Lumpur, Malaysia bersama keluarga dan rakan-rakan saya," ujarnya.

Selepas siaran anugerah itu berlangsung, Michelle membuat kejutan kepada Janet menerusi panggilan video untuk memaklumkan kemenangannya itu.

janet2 - 1

Kemenangan Michelle turut dirai di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Michelle mencatatkan sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi anugerah Oscar.

Aktres itu memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantapnya dalam filem berjudul Everything All At Once yang sekali gus menewaskan calon lain termasuk Cate Blanchett (Tar), Ana De Aemas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans).

Selain kategori Pelakon Wanita Terbaik, filem lakonan primadona ini turut merangkol kemenangan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dipegang oleh Jamie Lee Curtis dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi oleh Ke Huy Quan.

Kategori lain yang turut dimenangi filem Everything Everywhere All at Once adalah Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain