suria

Seluruh dewan tak berhenti menyanyi, Blue akui peminat di Malaysia jauh lebih energetik... Puas hati layan hits dulu-dulu!

Kumpulan Blue tawan peminat di Malaysia menerusi konsert pada Jumaat.

MEREMANG bulu roma!

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai konsert kumpulan pop British, Blue yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat malam.

Konsert Blue 20th Anniversary: Heart and Soul Tour berjaya memukau 2,900 penonton yang puas dengan aksi bertenaga empat ahlinya iaitu Duncan James, Lee Ryan, Simon Webbe dan Antony Costa.

Mereka membuka tirai konsert itu dengan dendangan hits klasik Sorry Seems to Be the Hardest Word, sekali gus membawa penonton terbuai dalam emosi dan nostalgia.

IMG_2912

Blue teruja dengan sambutan hangat peminat di negara ini.

Menerusi konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Happymoon itu, Blue turut mempersembahkan lagu Dance with Me, Ultraviolet dan Paradise yang dimuatkan album terbaharu mereka, Heart and Soul.

Suasana bertambah gamat apabila Blue mempersembahkan lagu-lagu ikonik seperti One Love dan All Rise, menyaksikan seluruh Dewan Plenary bergema dengan nyanyian para penonton.

Malah, hampir semua lagu yang dinyanyikan Blue menerima sokongan padu penonton apabila mereka terus berdiri, menjerit dan melambai dari tempat duduk masing-masing sepanjang 75 minit ia berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Rai peminat di Malaysia, Blue adakan konsert sempena ulang tahun ke-20 Februari depan

ARTIKEL BERKAITAN: Blue teruja sambut ulang tahun ke-20 bersama peminat di Malaysia, mahu cacah tatu buat kenang-kenangan

Perkara itu turut diakui salah seorang ahli Blue, Duncan yang menyifatkan konsert mereka di Malaysia jauh lebih meriah berbanding persembahan di negara lain sebelum ini.

“Peminat di Malaysia merupakan salah satu penonton yang paling gempak kami pernah saksikan. Semangat yang ditunjukkan serta nyanyian bersama tanpa henti sangat menakjubkan,” ujar Duncan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal mengakui terharu dengan sambutan penonton menerusi penganjuran konsert tersebut.

IMG_2911

Blue membawa penonton terbuai dalam nostalgia dengan dengangan lagu-lagu popular mereka.

“Seperti yang kami jangkakan, jualan tiket laris dalam masa yang singkat dengan rata-rata umur pembeli dalam lingkungan lewat 20-an dan pertengahan 40-an.

“Kami sangat terharu dengan respon yang amat memberangsangkan oleh peminat kerana percaturan membawa boy band dari United Kingdom (UK) iaitu Blue ternyata membuahkan hasil,” ujarnya.

Pengarah Urusan Happymoon, Kesavan Purusotman turur berterima kasih atas kesudian Blue yang sekali lagi hadir menghiburkan peminat di negara ini.

Untuk rekod, kali terakhir Blue mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain