suria

Tiada istilah biasa-biasa, Aina Abdul tetap ‘all out’ di AJL37 tahun depan

Aina Abdul mahukan sesuatu yang besar di pentas AJL37.

PENYANYI Aina Abdul tetap akan tampil dengan persembahan di luar kotak ketika berentap di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) yang bakal berlangsung pada 12 Februari 2023.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 29, bagaimanapun berkata, setakat ini dia masih belum mempunyai sebarang konsep tertentu namun bakal merancang sesuatu istimewa.

"Saya masih belum ada konsep penuh tapi apa yang boleh saya katakan, saya mahukan sesuatu yang besar. Saya mahu sesuatu yang di luar kotak.

"Ia boleh jadi segala benda. Busana, pentas, susunan muzik. Itu yang saya mahu lihat untuk karya Terus Hidup. Mesej lagu ini kecil iaitu tentang rindu tapi saya nak ia nampak luar biasa," katanya kepada mStar.

Lagu Terus Hidup amat bermakna buat Aina Abdul.

Aina berkongsi mengenai perancangannya itu ketika ditemui selepas diumumkan sebagai salah seorang finalis yang layak ke AJL37 baru-baru ini.

Berkongsi tentang perasaannya, Aina mengakui dia gementar apabila kembali bertarung dengan nama besar di atas pentas AJL37 namun pengalaman itu menaikkan semangatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kembali Terang’, ‘Terus Hidup’ dan ‘Nang’ antara 12 lagu layak ke AJL37

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip mohon maaf kepada peminat, terikat komitmen lain punca tak menyanyi di SFMM37

Aina berkata, dia berasa bertuah apabila dapat berkongsi pentas dengan beberapa nama besar lain apatah lagi lagu ciptaannya terpilih ke AJL37.

"Perasaan gerun dan seram itu ada... saya kena bekerja lebih kuat, kalau tidak saya akan rasa selesa.

"Saya anggap ia satu penghargaan kerana mereka semua berpengalaman dan peluang ini membuatkan saya lebih yakin berkongsi pentas bersama mereka," katanya.

Aina Abdul akui kena berkerja keras untuk AJL37.

Apatah lagi kata Aina, lagu berkenaan mempunyai makna mendalam buat dirinya.

"Saya amat sayang dengan lagu Terus Hidup walaupun mesejnya tentang menyatakan kerinduan pada seseorang tapi rindu itu sangat besar.

"Apa saya maksudkan tentang rindu ini adalah rindu kepada orang yang sentiasa bersama saya dan sebab itu saya sayang lagu ini," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain