suria

Karl Shafek panik 7 ekor kucing mati tanpa sebarang simptom, rupanya terkena jangkitan virus parvo

Karl terkilan kucing kesayang mati serentak dalam tempoh terdekat.

PELAKON dan pengacara Karl Shafek meluahkan rasa sedih apabila tujuh daripada 30 ekor kucing peliharaannya mati secara mengejut dalam tempoh lima hari berturut-turut.

Karl atau Khairul Shafek Ibrahim, 42, berkata, doktor veterinar mengesahkan punca kematian tersebut akibat virus parvo yang sering menjangkiti haiwan berkenaan.

"Memang sedih dan terkejut apabila setiap hari balik rumah selepas kerja kebelakangan ini ada sahaja kucing saya yang mati. Bermula daripada seekor dan sekarang sudah tujuh ekor mati.

"Kesemuanya tidak menunjukkan sebarang simptom. Jadi saya pun tak syak ada masalah virus berkenaan.

karl shafek 2

Antara kucing peliharaan Karl.

"Saya pelik juga sebab semuanya saya letakkan di dalam rumah. Bagaimanapun doktor veterinar memberitahu virus parvo mungkin boleh merebak melalui udara atau lalat," katanya kepada mStar.

Karl terdahulu berkongsi mengenai kematian tujuh ekor kucingnya menerusi Instagram Story miliknya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun Karl Shafek berdepan depresi, masih dapatkan rawatan pakar

ARTIKEL BERKAITAN: Setuju jadi ‘muse’ saat akhir tapi minta RM4,000... Karl Shafek tak benarkan usahawan terkenal rosakkan pertunjukkan fesyen

Sebagai seorang pencinta kucing, Karl berkata, kehilangan haiwan peliharaannya itu pasti memberi kesan mendalam buat dirinya.

Bagaimanapun katanya, dia kini mengambil langkah berhati-hati agar baki kucing miliknya yang lain tidak terkena jangkitan virus sama.

"Kebanyakan yang mati itu adalah masih baru dan belum divaksin. Mungkin sebab itu ia mudah terkena jangkitan.

Terima kasih kepada mereka yang menghantar pesanan di media sosial tentang cara-cara penjagaan kucing

KARL SHAFEK

PELAKON/PENGACARA

"Walaupun sedang sedih dan panik, saya tidak boleh nak terus berdiam. Perlu fikirkan langkah berjaga-jaga agar kucing yang lain tidak terkena jangkitan.

"Sekarang ini saya letakkan mereka dalam bilik khas dan yang mana ada simptom diasingkan. Selain itu, saya juga sentiasa menjaga kebersihan kawasan mereka dikurung supaya sentiasa bersih dan bebas kuman," jelasnya.

Dalam pada itu, Karl turut melahirkan rasa terharu apabila rakan-rakan pencinta kucing yang lain banyak memberi nasihat dan petua penjagaan haiwan itu agar tidak terkena jangkitan sama.

"Antara petua yang saya buat adalah berikan kucing-kucing ini air rebusan rumput helikopter. Rasanyta semua yang membela kucing tahu akan petua ini.

"Terima kasih kepada mereka yang menghantar pesanan di media sosial tentang cara-cara penjagaan kucing," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain