suria

[VIDEO] Sharul Kamal bersuara tuntut hak sebagai pelakon utama, lega salah faham dengan produksi filem ‘Seratus’ selesai

PELAKON Sharul Kamal mendedahkan wujud salah faham antara dirinya dengan pihak produksi filem Seratus ketika dia ditawarkan terlibat dalam karya arahan Feroz Kader itu.

Menurut Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 26, isu tersebut bagaimanapun telah selesai selepas mereka mengadakan sesi perbincangan.

Kata Sharul, hasil perbincangan itu dia berjaya mendapatkan haknya sebagai pelakon utama filem berkenaan.

"Ketika awal menerima tawaran projek ini adalah sebuah supertelefilem dan semua perjanjian mengikut yang sepatutnya. Apabila tahu ia kemudian menjadi sebuah filem ada timbul rasa berbelah bahagi dalam hati.

sharul kamal 2

Sharul bergandingan dengan Sara Ali dalam filem Seratus.

"Bagaimanapun bahagian saya semuanya telah selesai selepas mengadakan perbincangan. Saya minta hak saya dan pihak yang sepatutnya telah meluluskan termasuk dari segi bayaran.

"Saya menerima tawaran sebagai pelakon utama dalam filem ini jadi rasanya eloklah bersuara. Kalau sekadar penampilan istimewa mungkin boleh berdiam," katanya.

Sharul ditemui ketika majlis tayangan perdana filem berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah nampak bakat terpendam Sharul Kamal, beri peluang bawa watak utama dalam filem ‘SERATUS’

ARTIKEL BERKAITAN: Enam tahun bergerak solo... Sharul Kamal kini cuba nasib bersama band DUNYA - “Saya kena buat sesuatu yang lain”

Sebelum ini, menerusi satu mesej yang dihantar kepada mStar, Sharul meluahkan rasa sedih apabila mendapat tahu projek ini diangkat sebagai filem sedangkan pihaknya tidak dimaklumkan dari awal.

Bercakap tentang filem pertama yang menampilkan dirinya sebagai pelakon utama ini, Sharul berkata ia merupakan satu cabaran besar apabila digandingkan dengan pelakon-pelakon hebat tanah air.

"Melihat senarai nama pelakon yang terlibat membuatkan saya rasa cuak untuk terlibat dalam projek ini. Saya sendiri tak sangka boleh memberikan yang terbaik untuk pertama kali menggalas watak utama dalam filem.

Saya menerima tawaran sebagai pelakon utama dalam filem ini jadi rasanya eloklah bersuara

SHARUL KAMAL

PELAKON/PENYANYI

"Ramai pelakon-pelakon hebat. Ada juga rasa takut jika saya 'tenggelam'. Namun untuk watak ini tugas saya selesai dan biarlah penonton yang menilai," ujarnya.

Berkongsi tentang cabaran semasa penggambaran, Sharul yang melakonkan sendiri babak aksi juga memberitahu dia terlibat dalam satu kemalangan tanpa sengaja.

Demi memberikan yang terbaik, dia turut mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi dalam tempoh dua minggu sebelum memulakan penggambaran.

sharul kamal 3

Antara barisan pelakon filem Seratus.

"Ada satu babak dalam filem ini sepatutnya saya hampir dilanggar, namun tanpa sengaja kemalangan betul-betul berlaku. Bagaimanapun saya masih teruskan penggambaran dan tidak mengalami kecederaan teruk.

"Kami jalankan penggambaran sepanjang bulan Ramadan tahun 2021 jadi cabarannya adalah untuk mengekalkan tenaga sepanjang tempoh berpuasa. Saya juga mengikuti kelas lakonan sebelum mula masuk set," jelasnya.

Menarik tentang filem ini, ia menampilkan seramai 100 orang pelakon seperti Sara Ali, Fauzi Nawawi, Marissa Yasmin dan Wan Hanafi Su.

Selain itu, antara yang membuat penampilan istimewa adalah Datuk Awie, Datuk Nash, Datuk Fizz Fairuz, Ziana Zain, Nora Danish. Bell Ngasri dan ramai lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain