suria

[VIDEO] Uwais miliki wajah seiras Siti Sarah... Raisuddin jadikan cucu tempat lepas rindu, masih ingat sentuhan terakhir arwah

SETAHUN pemergian Allahyarham Siti Sarah turut dirasai oleh bapanya iaitu Raisuddin Hamzah yang mengakui sentiasa mengingati kenangan manis bersama anak perempuannya itu.

Bagi mengubati kerinduan itu, Raisuddin, 66, mengambil keputusan untuk menjaga anak sulung arwah dan Shuib iaitu Uwais Alqarni, 10.

Memiliki rupa paras seperti Siti Sarah, Raisuddin berkata ia sedikit sebanyak dapat melepaskan rindu dan mengimbau kembali kenangan bersama arwah semasa kecil.

"Saya menjaga Uwais dan dia sama seperti arwah Sarah. Uwais selalu tidur dengan saya sejak kecil sehinggalah hari ini. Itulah yang dapat mengubat kerinduan terhadap arwah.

raissuddin 1

Raisuddin bersama Shuib dan cucu-cucunya.

"Fizikal Uwais terutamanya tangannya sama seperti arwah. Bagaimana sifat manjanya juga saling tidak tumpah seperti ibunya.

"Dalam kesedihan, saya bersyukur ada seorang pengganti yang memiliki sifat sama seperti Sarah," katanya kepada mStar.

Raisuddin ditemui di majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian Sarah yang diadakan di kediaman Shuib di Puchong, Selangor pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib batal hasrat ubah suai rumah selepas mimpi cari arwah Siti Sarah... Baju terakhir dipakai jadi pengubat rindu

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Setahun pemergian Siti Sarah, Shuib perit tanggung rindu rasa seperti arwah masih ada... Kini ibulah tempat menangis!

Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.

Mengimbau kembali kenangan bersama arwah, Raisuddin tidak menyangka sentuhan terakhir anaknya itu sebelum keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital adalah kenangan terakhir buatnya.

Dia yang ketika itu turut dijangkiti Covid-19 bagaimanapun tidak dapat menghadiri pengebumian anaknya itu.

Dia hanya pegang tangan saya yang sedang baring di kerusi. Saya tidak memandang dia ketika itu namun tahu itu adalah tangan arwah

RAISUDDIN HAMZAH

"Sebelum arwah ke hospital, kami tidak bercakap. Dia hanya pegang tangan saya yang sedang baring di kerusi. Saya tidak memandang dia ketika itu namun tahu itu adalah tangan arwah.

"Ada juga rasa terkilan kerana tidak berkesempatan untuk bercakap. Saya juga tidak sangka sentuhan itu adalah yang terakhir buat kami. Dia pergi buat selamanya selepas keluar dari rumah itu," ujarnya.

shiub 22

Uwais (kanan) memiliki wajah dan sifat sama seperti arwah Sarah.

Untuk rekod, beberapa hari sebelum meninggal dunia, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos tahun lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Uwais, Ayash, Sarah yang mendirikan rumah tangga dengan pelawak Shuib pada 2011 turut mempunyai dua orang cahaya mata lain iaitu Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain