suria

Bakal timang anak lelaki, Ariff Bahran berdebar nak teman isteri masuk bilik bersalin... Mahu tengok sendiri proses kelahiran

Bahran teruja sambut kelahiran anak pertama.

TERUJA bakal menyambut kelahiran anak sulung lelaki pada Julai depan, penyanyi Ariff Bahran turut mengakui gementar untuk berada di bilik bersalin menemani isterinya iaitu Amirah Syazwani Ridzwan.

Menurut Bahran, 24, proses untuk bergelar bapa ini juga membuatkannya sentiasa berfikir tentang kehidupan dan tanggungjawab yang bakal dipikul selepas anak itu dilahirkan nanti.

"Semakin dekat menjelang hari kelahiran anak ini, saya jadi semakin berdebar sebab saya sendiri yang akan menyaksikan proses kelahiran di dewan bersalin dan azankan bayi kami nanti.

ariff bahran 2

Isteri Bahran dijangka bakal melahirkan anak mereka Julai ini.

"Bakal bergelar seorang bapa membuatkan saya lebih banyak berfikir tentang kehidupan yang akan ditempuhi. Ini semua adalah satu tanggungjawab dan saya amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan tuhan ini,” katanya kepada mStar.

Sebelum ini, Bahran dan isterinya memuat naik video di laman Instagram berkongsi berita gembira bakal menimang anak lelaki.

Sementara itu, Bahran berkata sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, dia sudah terbiasa menjaga adik-adiknya dan tidak ada masalah untuk menguruskan anaknya itu nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tahniah! Ariff Bahran bakal jadi ayah, isteri kini hamil 6 bulan

ARTIKEL BERKAITAN: Lima hari positif Covid-19, Ariff Bahran cuak paras oksigen tiba-tiba menurun

"Saya anak sulung dalam tujuh orang adik-beradik lelaki. Dah biasa menjaga mereka, jadi tiada masalah untuk jaga anak ini nanti.

"Rasanya anak kami nanti akan lebih disayangi oleh datuk dan nenek mereka kerana ini merupakan cucu pertama bagi kedua-dua belah pihak.

"Saya banyak bertanya kepada ibu bapa tentang persediaan menjadi ayah. Banyak juga ilmu yang diturunkan. Selain itu saya sentiasa berdoa agar segala urusan dipermudahkan," ujarnya.

Ini semua adalah satu tanggungjawab dan saya amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan

ARIFF BAHRAN

PENYANYI

Sementara itu berkongsi tentang pilihan nama anak mereka, Bahran berkata dia menyerahkan kepada isteri untuk membuat keputusan dan mereka bersedia untuk berkongsi gambar anak selepas bersalin.

"Memanglah saya sudah ada senarai nama anak, cuma saya biarkan isteri untuk buat keputusan memilih.

"Selepas dilahirkan nanti kami akan kongsikan nama serta wajah anak kepada peminat," jelasnya.

Untuk rekod Bahran dan isteri mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain