suria

Seniman Negara Rahman B meninggal dunia akibat kesan Covid-19, ada darah beku di paru-paru

Rahman B meninggal dunia pada usia 87 tahun.

INDUSTRI seni dan teater kehilangan sebutir bintang apabila Tokoh Bangsawan Negara iaitu Rahman B menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.43 petang, Rabu.

Rahman B atau nama sebenar Abdul Rahman Abu Bakar meninggal dunia pada usia 87 tahun akibat pasca jangkitan Covid-19.

Berita pemergian Rahman B atau lebih mesra disapa Pak Rahman ini disahkan oleh cucunya iaitu Hussein Abdul Salam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pementasan Bangsawan Tindakan Pemeliharaan Warisan

ARTIKEL BERKAITAN: ASWARA diisytihar badan berkanun

"Pak Rahman meninggal dunia kerana ada pendarahan beku di paru-paru akibat kesan jangkitan virus Covid-19.

"Arwah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan dah sembuh baru-baru ini tapi dia mendapat komplikasi selepas jangkitan," katanya ketika dihubungi mStar.

rahman 4

Rahman B dimasukkan ke hospital, minggu lalu.

Sementara itu, Hussein memaklumkan dia sempat menghubungi datuknya itu pada Selasa malam.

"Semalam saya sempat berbual dengannya tapi tak bercakap banyak. Cuma sebelum ini dia pernah cakap nak jumpa kami semua... katanya dah tak lama lagi, mungkin dia dah rasa.

Pak Rahman ini suka bersembang, kalau berborak dia memang banyak cerita dia suka berbual

HUSSEIN ABDUL SALAM

CUCU SULUNG RAHMAN B

"Pak Rahman ini suka bersembang, kalau berborak dia memang banyak cerita dia suka berbual," ujarnya.

Jenazah Allahyarham Rahman B akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas solat Zohor pada Khamis.

rahman 3

Perkongsian Sherry di Instagram.

Berita pemergian Rahman B turut mengejutkan ramai pihak termasuklah penggiat seni antaranya pengacara dan pelakon Sherry Al Hadad.

"Hilang sebutir permata seni yang sangat berharga dalam dunia Teater Bangsawan. Saya bersyukur diberi peluang menuntut ilmu bersama Pak Rahman semasa di Aswara.

"Terima kasih atas segala ilmu yang Pak Rahman beri pada kami. Rehatlah di taman abadi Cikgu Rahman. Semoga roh Pak Rahman di tempatkan dikalangan orang orang yang beriman," tulisnya pada ruangan kapsyen.

rahman 2

Eric Fuzi muat naik foto bersama Rahman B di Instagram.

Untuk rekod, Pak Rahman yang juga merupakan Tokoh Bangsawan Negara dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Klang, Selangor.

Beliau mula menceburkan diri dalam bidang ini seawal usia lapan tahun.

Antara kumpulan bangsawan yang telah menaikkan namanya adalah Kumpulan Rahman Star Opera dan Bangsawan Bintang Timur.

Rahman B menerima Anugerah Seni Negara keenam pada tahun 2003 yang membawa gelaran Seniman Negara.

Beliau juga merupakan Adiguru bangsawan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak tahun 1996.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain