suria

Bergilir-gilir dukung nenek lanjut usia selamatkan diri, 5 ahli keluarga Ezzaty Abdullah ada dalam kereta api terbakar di Kelantan

Ezzaty panik saat mendapat perkhabaran dari bapanya tentang insiden kereta api terbakar

INSIDEN kereta api terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas, Kelantan pada Selasa malam mengundang rasa cemas dan panik pelakon Ezzaty Abdullah yang kini sarat mengandung.

Menurut Ezzaty, 32, perasaan cemas itu semakin menebal setelah mengetahui ibu bapa, nenek serta dua lagi saudaranya turut berada dalam tren Ekspres Rakyat Timuran Nombor 27 itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Azwan Kombos, Ezzaty Abdullah bakal timang anak kedua bulan depan... Empat bulan merana kerana alahan

ARTIKEL BERKAITAN: Ezzaty terpaksa jadi cikgu di rumah, berhentikan anak prasekolah sebab tak fokus belajar dalam talian

Menceritakan semula situasi kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.20 malam itu, Ezzaty berkata keluarganya serta para penumpang lain bergegas mengosongkan gerabak.

"Penumpang terpaksa berjalan jauh mencari kawasan lapang sebelum bantuan tiba.

"Saya tak boleh bayangkan bagaimana keadaan mereka dalam gelap dan di tengah hutan ketika itu.

"Ayah serta bapa saudara terpaksa bergilir-gilir mendukung nenek yang sudah berusia dan berjalan lebih kurang 100 meter," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

ezzaty 4

Ezzaty dan Azwan Kombos menanti hari kelahiran anak kedua

Menurut isteri kepada aktor Azwan Kombos ini, ahli keluarganya itu dalam perjalanan dari Kota Bharu di Kelantan ke Kuala Lipis, Pahang.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan tren Ekspres Rakyat Timuran Nombor 27 mengalami kebakaran pada bahagian enjin.

Bagaimanapun, ia tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada 180 penumpang dalam kejadian di Kilometer (KM) 490.50-491 itu.

Saya hanya fikirkan jika keadaan teruk saya tidak boleh ke sana kerana sarat mengandung

EZZATY ABDULLAH

PELAKON

Tambah Ezzaty, dia bersyukur apabila semua yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Memang rasa cemas apabila mendapat perkhabaran tersebut. Ibu bapa saya bersama nenek, bapa dan ibu saudara ada dalam keretapi tu.

"Saya hanya fikirkan jika keadaan teruk saya tidak boleh ke sana kerana sarat mengandung.

"Syukur semuanya selamat dan ibu bapa saya kini berada di rumah bapa saudara di Kuala Lipis," katanya.

ezzaty 2

Ezzaty lebih bersedia menyambut kelahiran anak kedua

Dalam pada itu berkongsi tentang kehamilan anak kedua, pelakon drama KL Gangster: Underworld ini memberitahu masih belum menunjukkan sebarang tanda akan bersalin dalam masa terdekat.

"Jika ikutkan perkiraan memang sudah sampai tarikh bersalin. Namun belum ada tanda-tanda lagi.

"Anak pertama dahulu pun lewat seminggu, jadi saya tidaklah begitu risau. Hanya tunggu sahaja nanti harinya," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain