suria

Qody Rany seronok Pulau Langkawi kembali meriah, syukur ahli keluarga mula bekerja - “Pelancong datang, kami dah boleh bernafas sikit”

Qody kongsi suasana Pulau Langkawi selepas kerajaan benarkan industri pelancongan beroperasi.

PEMBUKAAN semula sektor pelancongan di Pulau Langkawi memberi sinar baharu kepada pengusaha dan pemain industri pelancongan di pusat percutian popular itu.

Menerusi laman sosial, ramai yang berkongsi foto kemeriahan pulau peranginan itu selepas ia dibuka kepada pelancong bermula 16 September lalu.

Berkongsi situasi terkini, penyanyi Qody Rany yang juga merupakan anak jati Langkawi memberitahu suasana sekitar mula meriah dengan kehadiran pelancong namun masih dalam keadaan terkawal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu sebelum kahwin dalam akaun tak ada duit” - Qody Rany jadi penasihat rumah tangga, ada pantang larang kalau nak bahagia

ARTIKEL BERKAITAN: Qody ‘lepak’ tepi pantai Langkawi rakam MV Satukan Harapan... teruja nyanyi lagu patriotik dengan Megat Rahim, Ezwan Ariff, dan Fatin Faishal

Hasil pemerhatiannya, rata-rata pelancong mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Nak kata ramai sangat pelancong pun tidak juga... tapi suasana sekarang lebih baik dan sedikit meriah berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, ketika itu jalan raya pun sunyi sahaja.

qody 2

Qody berada di kampung halaman di Langkawi sejak Mei lalu.

"Di kawasan pantai dan pulau pun dah mula ada aktiviti pelancongan. Waktu siang memang ramai yang ambil kesempatan bersiar-siar di kawasan tumpuan tapi apabila tiba malam suasana kembali tenang, kebanyakannya sudah berada di tempat penginapan masing-masing.

"Buat masa ini apa yang saya perhatikan, pematuhan SOP masih terkawal, pelancong yang masuk ke sini pun sudah melakukan saringan kit ujian pantas, InsyaAllah semuanya selamat," katanya kepada mStar.

Ada juga penduduk yang risau dengan angka jangkitan yang tinggi, mereka takut kalau pelancong datang bawa virus.

QODY RANY

PENYANYI

Awal bulan lalu, kerajaan mengumumkan beberapa destinasi pelancongan akan dibuka di bawah program 'travel bubble' berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

qody 3

Peniaga produk pelancongan tarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan itu.

Sementara itu, Qody yang kini bersama keluarga di Langkawi sejak Mei lalu berkata kebenaran aktiviti pelancongan yang diumumkan kerajaan itu memberi kelegaan kepada peniaga tempatan.

Meskipun begitu, penyanyi lagu Satukan Harapan ini berkata masih ada segelintir penduduk yang bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

"Alhamdulillah yang meniaga memang lega bila dengar aktiviti pelancongan dihidupkan semula... mereka boleh jana semula pendapatan, bayar kos-kos perniagaan yang terkesan sebelum ini.

"Ada ahli keluarga saya yang mengusahakan rumah tumpangan dan sewa kereta, jadi sekarang ini dah mula ada pelanggan, bolehlah bernafas sikit!

"Dalam masa sama ada juga penduduk yang risau-risau dan masih bimbang dengan angka jangkitan yang tinggi, mereka takut kalau pelancong yang datang bawa virus... tapi biasalah masing-masing ada pandangan tentang kebenaran ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Qody memberitahu dia akan pulang ke Kuala Lumpur awal Oktober ini untuk meneruskan karier seninya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain