suria

Qody ‘lepak’ tepi pantai Langkawi rakam MV Satukan Harapan... teruja nyanyi lagu patriotik dengan Megat Rahim, Ezwan Ariff, dan Fatin Faishal

Ezwan Ariff, Qody Rany, Megat Rahim dan Fatin Faishal menjayakan lagu Satukan Harapan.

BUKAN sahaja rakaman vokal malah penggambaran video muzik (MV) juga perlu dilakukan sendiri di tempat masing-masing menggunakan kelengkapan yang terhad.

Demikian pengalaman norma baharu yang terpaksa dilalui empat penyanyi muda bagi menjayakan rakaman sebuah lagu patriotik berjudul Satukan Harapan.

Bagi Qody Rany, pengalaman pertama merakamkan lagu untuk meniupkan semangat agar masyarakat terus bangkit menempuh cabaran pandemik Covid-19 disifatkan cukup bermakna.

ARTIKEL BERKAITAN: Bye bye ABPBH! Zul Ariffin tarik diri bertanding, peminat syak ada kaitan dengan hijrah

“Lagu ini juga memberi satu lagi pengalaman baharu buat saya apabila perlu menjalani proses rakaman berjauhan dengan komposer. Rakan artis lain semuanya di Kuala Lumpur, saya saja di Langkawi.

suara

Qody Rany, Megat Rahim, Fatin Faishal dan Ezwan Ariff menyanyikan lagu ini.

“Sejujurnya sesuatu yang cukup bermakna dalam diri apabila diberi peluang menyanyikan lagu tema ini. Sedikit sebanyak ia menambahkan lagi semangat dalam diri.

“Saya yakin, kita masih ada harapan dan jangan pernah berputus asa. Saya juga berharap, dengan adanya lagu ini rakyat Malaysia dapat merasai perkara sama,” katanya kepada mStar.

Satukan Harapan yang dilancarkan syarikat rakaman Najah Music pada Jumaat lalu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September depan.

Lagu ini membawa mesej harapan buat semua rakyat Malaysia ketika kita menyambut Hari Malaysia dalam keadaan pandemik.

EZWAN ARIFF

PENYANYI

Selain Qody, lagu hasil ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia dan Adi Pawana itu turut dinyanyikan Ezwan Ariff, Megat Rahim dan Fatin Faishal.

Sementara itu Ezwan berkata dia berbangga berpeluang menyanyikan lagu bertemakan semangat dan harapan sekali gus mewakili suara rakyat Malaysia.

“Ini lagu patriotik pertama saya rakamkan sejak bergelar penyanyi. Perasaan itu tentu saja teruja dan gembira sebab sebagai penyanyi setakat ini saya sudah capai banyak perkara seperti dapat rakamkan lagu bersama band, solo serta merakamkan lagu raya solo pertama.

“Kali ni lagu patriotik pula, jadinya ia satu pencapaian yang membanggakan bagi saya secara peribadi.

“Tambahan pula, lagu ini membawa mesej harapan buat semua rakyat Malaysia ketika kita menyambut Hari Malaysia dalam keadaan pandemik,” katanya.

avatars-000295550981-33t3m6-t500x500

Lagu ciptaan digubah oleh Rudy Nastia

Bercerita lebih lanjut tentang lagu Satu Harapan, salah seorang komposer iaitu Rudy berkata mereka yakin rakyat Malaysia akan terus bersatu dan cekal mengharungi cabaran dan dugaan sepanjang menempuh pandemik Covid-19.

“Saya dan Adi Pawana selaku komposer dan penulis lirik berpendapat kita masih ada harapan, masih ada kekuatan yang berbaki untuk meneruskan kehidupan jika semua bersatu.

“Selepas selesai menyiapkan demo, saya terus kongsikan idea ini dengan Adi Pawana. Kemudian dia melakarkan jalan cerita itu dalam penulisan liriknya,” katanya.

TONTON MV SATU HARAPAN!

Bagi Adi Pawana pula, lagu Satukan Harapan itu memberikan pengalaman berbeza buat mereka kerana ia membabitkan empat penyanyi.

“Sebelum lagu ini dirakamkan, kami terlebih dahulu berbincang untuk menyusun kedudukan vokal keempat-empat penyanyi dalam lagu ini.

“Proses rakaman kali ini sedikit mencabar apabila ia dilakukan secara dalam talian di mana semua penyanyi berada di rumah masing-masing dan menggunakan peralatan rakaman yang agak terhad,” katanya.

Video muzik dan lagu Satukan Harapan dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Najah Music bermula 10 September 2021.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain