suria

Sesak nafas selepas sarapan, Azizan Rabbani meninggal dunia secara tiba-tiba - “Keluarga masih menunggu keputusan Covid-19”

Punca kematian Azizan masih lagi dalam siasatan.

BEKAS ahli kumpulan nasyid Rabbani, Azizan Khalid disahkan meninggal dunia pada usia 46 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada pukul 10 pagi Rabu.

Kematian mengejut Allahyarham disahkan ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 48, ketika dihubungi mStar pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada undangan menyanyi, isteri strok... rumah tangga Rahmat Rabbani diduga

Menurut Azadan, ketika ini jenazah Allahyarham masih berada di PPUM untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Isteri arwah cerita semalam (Rabu) lebih kurang pukul 8.30 pagi Allahyarham secara tiba-tiba sesak nafas selepas sarapan. Lepas itu ambulans datang ambil dan kemudian dalam pukul 10 pagi, dia disahkan sudah meninggal dunia.

azadan

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz.

"Sebenarnya sudah seminggu arwah demam tak kebah-kebah dan pada hari Selasa, dia pergi buat swab test Covid-19 dan doktor pun dah berikan gelang pink untuk dia jalani kuarantin di rumah.

"Result swab test dia patutnya keluar hari ini tapi dia dah pergi dulu semalam. Sekarang doktor belum lepaskan jenazah sebab nak buat post mortem untuk tahu punca kematian sama ada disebabkan serangan jantung atau virus Covid-19, " katanya kepada mStar.

Arwah sebenarnya sudah seminggu demam tak kebah-kebah.

AZADAN ABDUL AZIZ

KETUA KUMPULAN RABBANI

Azadan juga berkata, sekiranya Allahyarham disahkan meninggal disebabkan Covid-19, pihak hospital akan menguruskan proses pengebumian mengikut prosedur operasi standard (SOP).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pihak hospital maklumkan kalau Allahyarham meninggal sebab Covid-19, mereka akan uruskan sampai selesai majlis pengebumian.

rabbani4

Allahyarham Azizan (kiri belakang) dalam muzik video Intifada.

"Kalau meninggal disebabkan serangan jantung, wakil ahli keluarga dibenarkan untuk sama-sama uruskan jenazah.

"Sepanjang hampir 30 tahun saya mengenali arwah, dia tidak menghidap sebarang penyakit serius dan Allahyarham pun memang sentiasa ceria orangnya, " ujarnya lagi.

Menurut Azadan lagi, Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Behrang, Perak. Allahyarham meninggalkan balu dan seorang anak perempuan.

Azizan menyertai Rabbani yang popular dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali pada tahun 1997 sebelum menarik diri pada 2001.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!