suria

Bersara dunia boling, Syaidatul Afifah cuba nasib ke bidang lakonan - “Sejak usia 9 tahun tak pernah buat benda lain”

Syaidatul Afifah teruja pertama kali berlakon.

SELEPAS mengumumkan persaraannya pada September tahun lalu, bekas atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah tidak menjangkakan akan 'terjun' pula ke bidang lakonan.

Menurut Syaidatul atau nama sebenarnya, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 30, dia sebenarnya mempunyai impian untuk menubuhkan Akademi Boling untuk remaja bawah 18 tahun selepas persaraannya.

Namun begitu dia juga tidak menolak sekirannya dikurniakan rezeki dalam mana-mana bidang selain daripada arena sukan boling.

ARTIKEL BERKAITAN: Elisya Sandha cedera gara-gara dihempap bola boling ketika penggambaran Ratu Ten Pin - “Bola jatuh ketika saya nak melontar”

"Lepas saya bersara daripada sukan boling, saya memang ada simpan cita-cita nak tubuhkan Akademi Boling dalam tempoh lima tahun lagi.

"Memang tiada niat langsung akan masuk dalam bidang lakonan tapi bila dah dapat tawaran, saya rasa tak salah nak cuba lebih-lebih lagi ia melibatkan sukan boling.

"Saya berterima kasih kepada Sheila Rusly yang banyak beri tunjuk ajar... kalau dia tak tunjukkan, memang saya tak tahu langsung macam mana cara nak berlakon," katanya kepada mStar.

Sheila Rusly banyak memberi tunjuk ajar kepada Syaidatul Afifah untuk menghidupkan wataknya sebagai Sandra.

Syaidatul ditemui pada majlis sidang media bersama barisan pelakon drama Ratu Ten Pin yang diadakan secara virtual, baru-baru ini.

Sejak menceburi bidang sukan boling ketika berusia sembilan tahun, Syaidatul berkata dia tidak pernah berpeluang untuk mencuba sesuatu yang lain daripada kepakarannya.

"Saya dah habiskan waktu dengan sukan boling sejak dari umur sembilan tahun sehingga 29 tahun.

Memang tiada niat langsung akan masuk dalam bidang lakonan tapi bila dah dapat tawaran, saya rasa tak salah nak cuba.

SYAIDATUL AFIFAH

BEKAS ATLET BOLING/ PELAKON

"Lepas sahaja saya bersara tahun lepas, saya rasa memang sudah tiba masanya untuk saya cuba sesuatu yang baharu.

"Saya dah letakkan niat untuk teroka apa sahaja peluang yang hadir di depan mata," katanya yang turut bergelar pengacara di saluran Astro Arena.

Bercerita tentang cabaran dalam menjayakan penggambaran drama Ratu Ten Pin, selebriti kelahiran Perak ini berkata dia banyak menimba pengalaman daripada rakan-rakan pelakon yang tidak lokek berkongsi ilmu.

Barisan pelakon drama siri Ratu Ten Pin.

"Saya memang zero knowledge dalam ilmu lakonan tapi saya tetap ambil cabaran ini sebab ia mengangkat kisah tentang sukan boling.

"Jika saya tidak ambil peluang keemasan ini, tak tahu lagi bila saya akan dapat buat cerita yang sangat dekat dengan saya iaitu boling.

"Saya dan pelakon lain saling bertukar ilmu di set penggambaran. Misalnya, saya akan beri tunjuk ajar mengenai bola boling serta peraturan sukan tersebut manakala rakan pelakon dan pengarah akan membantu saya dari segi penghayatan lakonan," katanya lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ratu Ten Pin yang diterbitkan JS Pictures merupakan arahan sutradara Jinggo Yahya. Ia bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis di saluran Astro Ria (104) pada pukul 11 malam.

Selain Syaidatul, drama ini turut dibintangi Elisya Sandha, Nazim Othman, Fify Azmi, Sheila Rusly, Lisdawati, Aleeza Kassim, Datuk Eizlan Yusof, Dazrin Kamarudin dan Esma Daniel.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain