suria

Aisha Retno akui tertekan bawa karya sendiri, harap pendengar rasa rintihannya dalam Nukilanku

Aisha tampil dengan lagu ciptaannya berjudul Nukilanku.

TAMPIL dengan karya yang ditulis sendiri, penyanyi Aisha Retno meluahkan rasa syukur apabila proses rakaman lagu terbaharunya berjudul Nukilanku berjalan dengan lancar.

Malah Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berasa teruja apabila komposer lagu tersebut iaitu Farouk Roman menjaga dan memberi tunjuk ajar bahagian vokalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ubati kerinduan peminat, Anuar Zain akhirnya ada lagu baharu!

Penyanyi berusia 21 tahun ini mengharapkan agar pendengar merasai rintihan yang cuba disampaikan melalui mesej dalam lagu tersebut.



Aisha syukur proses rakaman berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah... proses rakamannya sangat lancar dan ia dilakukan selama dua hari. Paling saya rasa bersyukur apabila Farouk sendiri yang menjaga serta memberi tunjuk ajar pada bahagian vokal saya.

"Memang tidak dinafikan yang tekanan itu ada juga kerana selalu bahagian vokal orang lain jaga tapi kali ini dikemudi komposernya sendiri.

"Saya cuma berharap pendengar akan dapat merasakan rintihan yang saya cuba sampaikan dalam mesej lagu itu. Saya pun dah lama tak menulis lirik untuk lagu sendiri.

Memang agak merisaukan juga kerana keseluruhan lagu hasil ciptaan dan nyanyian sendiri.

AISHA RETNO

PENYANYI

"Penghayatannya jauh lebih berbeza berbanding menulis lagu kepada orang lain. Biar mereka merasakan keperitan cinta tidak berbalas itu dalam nyanyian saya," katanya kepada mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Selain aktif mengeluarkan karyanya, Aisha juga semakin rancak mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya Anuar Zain yang kembali muncul dalam industri muzik dengan single berjudul Sendiri.

Aisha mengakui dia berasa bimbang dengan penerimaan pendengar memandangkan lagu Nukilanku berbeza dengan karyanya sebelum ini.

Menurut Aisha, lirik lagu tersebut dicipta berdasarkan watak Hadi yang kematian kembarnya, Hakim menerusi drama Masih Ada Rindu yang ditayangkan di TV3.



Foto lama Aisha pernah bekerjasam dengan Farouk (kanan) untuk lagu Anuar Zain berjudul Sendiri.

"Lagu kali ini agak berbeza dengan beberapa lagu terdahulu saya kerana lirik sepenuhnya ditulis saya sendiri. Memang agak merisaukan juga kerana keseluruhan lagu hasil ciptaan dan nyanyian sendiri.

"Nukilanku diinsipirasikan daripada skrip drama itu sendiri di mana saya menceritakan daripada perspektif watak Hadi yang kematian kembarnya, Hakim.

"Seorang wanita yang mulanya cintakan Hakim kemudian sukakan Hadi pula. Namun begitu, perasaannya itu timbul kerana wajah Hadi yang mengingatkannya kepada Hakim, bukannya disebabkan rasa cinta.

"Jadi, saya mewakili Hadi dalam lagu ini tertunggu bila tibanya perasaan cinta luhur itu buatnya. Kiranya, Nukilanku adalah luahan hati seseorang yang mengimpikan cinta itu jadi miliknya," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain