suria

FINAS anjur MyCap, WHAM pula bantu bekas wartawan dalam penghasilan skrip

Pengerusi FINAS, Zakaria Abd. Hamid (lima dari kanan), Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin (empat dari kanan) dan para peserta bengkel penulisan skrip.

DALAM usaha memajukan bidang industri kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan Program Peningkatan Kapasiti Industri Kreatif (MyCap) bagi mengumpul data buat pemain-pemain industri.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata pihaknya kini sedang mengemaskini platform data meliputi penggiat industri, persatuan dan syarikat dengan skop penilaian lebih luas.

“MyCap ditubuhkan sebagai platform penilaian selain mengiktiraf peranan semua penggiat industri seni tanahair untuk rujukan masa akan datang, ” kata Zakaria.

ARTIKEL BERKAITAN: Finas ingatkan produksi patuh SOP, elak penggambaran di Zon Merah

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Program Bengkel Komprehensif Penulisan Komersial, Kerjaya Profesional (Penulisan Skrip Drama TV- Adaptasi Daripada Novel Popular) di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Sabtu lalu.



Antara peserta bengkel Komprehensif Penulisan Komersial bergambar bersama oderator iaitu Lily Haslina Nasir (dua dari kiri) dan Eira Yusoff (empat dari kiri).

Sebelum ini, FINAS turut melancarkan Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) buat semua penggiat industri kreatif yang terjejas dek pandemik Covid-19.

PRISMA misalnya, ditubuhkan sebagai bukti keperihatinan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memudah cara pembiayaan dengan menghasilkan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran dan menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan.

“PRISMA dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat seni dengan mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.

“Salah satu inisiatif PRISMA yang sedang dilaksanakan adalah Program Creativity Never Stop yang bertujuan untuk memberi peluang kepada penggiat seni berkelayakkan dalam bidang pra-produksi, produksi dan pasca produksi menganjurkan bengkel secara atas talian termasuklah menerapkan elemen tenaga pengajar atau pakar industri tempatan dan antarabangsa, ” katanya lagi.



Pengerusi Finas, Zakaria Abd. Hamid

Setakat ini sebanyak 121 permohonan bagi Program Creativity Never Stops 1.0 dan 2.0 diluluskan KKMM dan FINAS bagi memajukan lagi sektor industri kreatif negara.

Sementara itu, program bengkel komprehensif penulisan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan

(WHAM) dengan kerjasama pihak FINAS.

Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program kali ini telahpun dirancang pada awal tahun lalu tetapi ia beberapa kali ditangguhkan kerana pandemic Covid-19 yang tidak memaksa banyak acara seminar dilarang untuk dilaksanakan.

“Penyertaan bengkel ini membabitkan penyertaan utama dari kalangan bekas wartawan yang berminat untuk mendalami bidang penulisan karya kreatif.

“WHAM akan terus membantu menganjurkan pelbagai program sebegini dengan sasaran kepada rakan-rakan media yang kehidupannya banyak terjejas ekoran penutupan dan pengecilan operasi banyak syarikat media berpengaruh dalam negara sebelum ini.



Para wartawan tekun mendengar teknik-teknik penulisan skrip yang betul daripada Lily Haslina.

“Kali ini, kami memilih bidang penulisan skrip kerana ia amat dekat dengan jiwa sebagai penulis itu sendiri walaupun berada dalam cabang penulisan kreatif. Usaha WHAM ini adalah untuk mencari kemahiran-kemahiran baharu dalam diri bekas wartawan-wartawan yang tidak lagi bermajikan ini agar mereka mampu mencari sumber pendapatan baharu setelah kehilangan pekerjaan, ” kata Tengku Khalidah.

Turut hadir, Timbalan Presiden WHAM, Niezam Abdullah dan kepimpinan persatuan berkenaan.

WHAM dinaungi oleh hampir 500 ahli dan merupakan antara persatuan membabitkan dunia kewartawanan yang sangat aktif dan sering responsif dengan industri.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain