suria

Muat naik foto rangkul lengan lelaki di IG, Julia Farhana kata bukan gimik untuk promosi lagu

Julia Farhana bukan sengaja mencipta gimik untuk mempromosikan lagu baharu nyanyiannya.

GARA-GARA memuat naik foto merangkul lengan seorang lelaki di laman Instagram, pelakon Julia Farhana Marin disangka bakal menamatkan zaman bujang dengan kekasih pilihan hatinya.

Tampil menjelaskan mengenai perkongsian itu, Julia, 28, berkata foto tersebut merupakan salah satu babak dalam video muzik (MV) lagu pertama nyanyiannya berjudul Jangan Lupakan Aku.

"Sehari sebelum pelancaran saya ada muat naik gambar bersama seorang lelaki... sebenarnya itu gambar saya bersama Fadlan Hazim yang juga merupakan pelakon dalam MV lagu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat tahun cari identiti diri, Julia Farhana cuba nasib jadi penyanyi - “Jangan kritik cara nyanyian saya pula!”

"Saya post gambar tu sebab cantik... kalau tengok dalam kapsyen saya siap tag Habib untuk tujuan kempen mereka. Saya tulis nervous sebab memang saya sangat gementar menanti pelancaran lagu pada hari ini.

"Sejujurnya itu bukan gimik! Kalau betul-betul nak buat gimik, saya dah buat awal-awal lagi... mungkin orang salah faham sahaja," katanya kepada mStar.

Julia ditemui semasa pelancaran lagu Jangan Lupakan Aku yang diadakan di Hotel Pullman, Kuala Lumpur pada Khamis.



Perkongsian foto dan kapsyen undang salah faham dalam kalangan pengikut di Instagram.

Jangan Lupakan Aku merupakan lagu pertama nyanyian Julia duet bersama penyanyi Awi Rafael.

Pada Rabu, pelakon drama Syurga Untukmu ini berkongsi sekeping foto dia sedang merangkul lengan seorang lelaki tanpa memperlihatkan wajah individu tersebut.

Saya rasa tak perlu nak minta maaf atas apa yang telah saya post di media sosial. Saya berkongsi apa yang saya rasa perlu!

JULIA FARHANA

PELAKON/ PENYANYI

Bersama gambar tersebut, dia turut menulis kapsyen ‘gementar menanti hari esok tapi saya sudah bersedia’.

Gara-gara kapsyen dan foto itu, ruangan komen dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada pengikut serta rakan artis.

Dalam pada itu, Julia berkata tiada keperluan untuk dia memohon maaf di atas salah faham itu.



Julia berduet bersama Awi Rafael dalam lagu Jangan Lupakan Aku.

"Saya rasa tak perlu nak minta maaf atas apa yang telah saya post di media sosial. Saya berkongsi apa yang saya rasa perlu... jadi saya kena bersedialah dengan kata-kata orang.

"Saya tengok ada selebriti sikit-sikit minta maaf, kenapa? Kalau anda percaya dengan apa yang anda post di laman sosial kenapa nak minta maaf sedangkan tak buat salah.

"Kawan-kawan pun hanya ucap tahniah sahaja... mungkin ada mereka yang dah tahu sebab sebelum ini pun saya memang jenis yang tulis kapsyen sebaris ayat sahaja, ” ujarnya.

Jangan Lupakan Aku hasil ciptaan sepenuhnya daripada Awi Rafael dan MV akan dilancarkan di akaun YouTube Newsantara dan Habib bermula Khamis.

Istimewanya dalam MV tersebut, Julia dan pelakon lain menggayakan barang kemas tajaan Habib dengan nilai keseluruhan mencecah RM6 juta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain