suria

Sudah 36 tahun filem ‘Ali Setan’… Awesome TV imbau memori indah malam ini

Filem Ali Setan lakonan hebat Ogy dan Azmil akan ditayangkan di Awesome TV malam ini.

SLOT Ohsem Telemovie di Awesome TV bakal menayangkan filem terhebat Ali Setan pada malam Ahad ini dan Ali Setan 2 pada 21 Mac depan.

Filem Ali Setan yang diterbitkan pada 16 Februari 1985 telah dibintangi oleh Azmil Mustapha sebagai Ali dan Fauziah Ahmad Daud sebagai Asmidar.

Ia merupakan filem romantik komedi arahan pengarah terkenal Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang juga merupakan pelakon dalam filem ini sebagai bapa angkat Ali.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas catat kejayaan lebih sejuta penonton, Awesome TV kini boleh ditonton di Astro saluran 123

Ali Setan mengisahkan tentang seorang pelajar universiti yang terkenal dengan kenakalannya iaitu Ali. Kenakalannya membuatkan ramai yang tidak senang hati dengan dia dan rakan-rakannya.

Dia sering mengusik pelajar-pelajar di tempat belajarnya terutama sekali Asmidar. Asmidar yang sering menjadi mangsa pada mulanya tidak suka tetapi tanpa sengaja Asmidar telah jatuh cinta dengan Ali.

Kemudian muncul pula Tipah lakonan Sheila Majid sebagai sepupu Ali yang cuba merebut Ali dengan mengaku dia telah mengandungkan anak Ali.

Antara pelakon lain yang turut sama dalam filem ini ialah Izi Yahya, Liza Abdullah, Ebby Saiful dan Shah Rezza.



Ali Setan merupakan filem lakonan hebat Allahyarham Azmil dan Ogy Ahmad Daud.

Pada tahun 1986, Ali Setan 2 telah ditayangkan dan filem tersebut merupakan sambungan kepada filem Ali Setan. Masih mengekalkan pelakon yang sama untuk watak Ali iaitu Azmil Mustapha tetapi untuk watak Asmidar telah digantikan oleh Sharifah Shalina.

Setelah menamatkan pengajiannya di universiti, Ali dan Asmidar bakal mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, kehadiran Jeff lakonan Izi Yahya telah menyebabkan perkahwinan mereka dibatalkan.

Jeff telah menceritakan latar belakang sebenar Ali kepada ayah Asmidar. Ayah Asmidar (Baharuddin Omar), mula tidak menyukai Ali dan memaksanya berkahwin dengan Jeff.

Perkahwinan Jeff dan Asmidar diteruskan tanpa rela hati oleh Asmidar. Selepas beberapa bulan, perkahwinan mereka gagal sehingga Jeff telah menceraikan Asmidar. Namun itu bukan pengakhiran hidup Asmidar kerana takdir telah menemukan Asmidar dan Ali Kembali.

Saksikan kenakalan Ali dalam Ali Setan (7 Mac 2021) dan Ali Setan 2 (21 Mac 2021), Ahad pada pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam di Awesome TV di saluran Astro, 123 dan 112 (MyTV).

Penonton juga mengikuti perkembangan Awesome TV melalui akaun media sosial Awesome TV atau layari laman sesawang Awesome TV di www.awesometv.my.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain