suria

Alhamdulillah! MK K-Clique pula terbuka hati sertai tabligh, belajar agama... mula tanggal rantai, gelang emas

MK sertai kelas agama dengan menyertai kumpulan tabligh.

FOTO penyanyi rap MK K-Clique menyertai kelas agama bersama kumpulan jemaah tabligh menarik perhatian peminat hingga tular di media sosial.

Dalam foto yang dikongsi di Instagram itu, MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, dilihat mengikuti kelas berkenaan bersama beberapa rakannya termasuklah pelakon Mas Khan.

Menurut pengurusnya iaitu Kie Razid, penyanyi lagu Pulang itu menyatakan hasrat mengikuti kelas tersebut sejak tiga minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: MK K-Clique rasa tak layak jadi ‘role model’ tingkat prestasi pelajar SPM- “Saya percaya ada calon lain lebih baik berbanding diri sendiri”

MK bersama beberapa temannya difahamkan berkampung di Jerantut, Pahang selama tiga hari mendalami ilmu agama.

"Dia sendiri yang nak sertai kelas agama itu. Sepanjang tempoh tiga hari itu dia mengikuti pengajian asas agama termasuklah buat aktiviti sunnah seperti menunggang kuda dan makan dalam dulang beramai-ramai.



MK tekun mengikuti kelas agama bersama kumpulan tabligh.

"Kalau tengok foto yang dikongsi, dia nampak seronok mengikuti kumpulan tersebut. Dia juga tanggal rantai dan gelang semua... beberapa hari ini dia tak aktif di media sosial kerana fokus dengan kelas, telefon pun ditutup.

"Alhamdulillah benda baik kita sokong, apa yang penting niat dia untuk berubah," katanya kepada mStar.

Alhamdulillah benda baik kita sokong, apa yang penting niat dia untuk berubah!

KIE RAZID

PENGURUS MK

Sementara itu, Kie memaklumkan MK akan pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini dan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.

Salah seorang pelakon yang turut menyertai kumpulan tersebut iaitu Mas Khan yang dihubungi pula enggan mengulas lanjut mengenai penglibatannya itu.



Selain kelas agama, MK juga mengikuti aktiviti sunnah seperti menunggang kuda dan makan dalam dulang beramai-ramai.

Sebelum ini, salah seorang pelakon yang aktif dengan jemaah tabligh iaitu Zul Yahya enggan lagi namanya dikaitkan dengan kumpulan terbabit.

Keputusannya untuk tidak lagi terbabit dengan kumpulan itu kerana ingin menjaga nama baik jemaah tabligh.

Zul berkata banyak perkara yang dipelajari sepanjang bersama dengan jemaah tabligh dan berharap dirinya terus istiqamah.

"Jangan kaitkan saya dengan jemaah tabligh. Ini bagi menjaga kemuliaan nama jemaah tabligh. Saya tidak lagi bersama mereka.

"Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar daripada mereka. Semoga apa yang dikongsikan kepada saya selama ini dapat diamalkan dan doakan saya dapat terus istiqamah hingga mati. Selamat tinggal segala urusan bersama mereka," katanya.

Zul Yahya merupakan antara selebriti yang aktif berkongsi aktiviti keluar berdakwah menyebarkan agama Islam bersama kumpulan tabligh dan berkongsi di laman sosial.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain