suria

Bukan disingkirkan, VE hanya beri ruang Damian Mikhail selesaikan hal peribadi - “Situasi yang dihadapinya melambatkan pergerakan kumpulan”

V.E kini selesa bergerak secara berempat.

KUMPULAN Voices Of Euphonious atau V.E menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa mereka telah menyingkirkan salah seorang anggota kumpulan itu iaitu Damian Mikhail.

Menurut ahli kumpulan tersebut, Zaf atau nama sebenarnya, Zafri Nazarudin ketiadaan Damian adalah untuk memberikan ruang kepadanya bagi menyelesaikan masalah peribadi yang dilalui tanpa menganggu kelancaran perjalanan V.E pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah berkurung 3 bulan kerana PKP, V.E belajar ilmu dunia digital - “Dahulu tak ada media sosial, sekarang perlu biasakan diri!”

"Ketika kami cuba untuk kembali aktif dan pada masa sama masing-masing ada kerja sendiri, seperkara yang perlu diketahui adalah betapa sukarnya kami bekerja mengikut kesesuaian jadual setiap anggota.

"Keputusan untuk meneruskan perjuangan V.E 2021 tanpa kehadiran Damian dibuat selepas saya mengadakan perbincangan dengan Shah dan juga pengurusan. Itupun selepas Shah membuat keputusan untuk menarik diri.

Tiada sebarang perbalahan atau pergaduhan yang berlaku antara kami. Kalau ada pun isu bangkit, pada saya itu adalah perkara normal.

ZAF

AHLI KUMPULAN V.E

"Kami tidak dapat untuk membawa Damian dalam kumpulan ini kerana kami mahu dia menyelesaikan terlebih dulu apa sahaja masalah peribadi yang dihadapinya. Tak dinafikan, situasi yang dihadapi Damian itu menjadi punca kelambatan pergerakan kumpulan V.E sebelum ini," katanya kepada mStar.

Kekurangan dua anggota menjadikan kumpulan yang popular dengan lagu Ayu dan Party Like This itu kini bergerak secara berempat iaitu terdiri daripada Zaf, Cham, Adeep dan Hakim.



Damian dan Shah tiada dalam album baharu VE. Dari kiri: Shah, Damian, Hakim, Zaf, Cham dan Adeep.

Zaf juga menafikan wujud perbalahan di antara mereka sehingga menyebabkan pengunduran dua ahli tersebut.

"Tiada sebarang perbalahan atau pergaduhan yang berlaku antara kami. Kalau ada pun isu bangkit, pada saya itu adalah perkara normal. Dalam mana-mana kumpulan pun pasti berlaku perbezaan pendapat.

"Keputusan ini tidak membabitkan langsung soal peribadi malah hubungan kami sangat baik. Kami tidak berniat untuk masa campur dalam urusan peribadinya. Cuma kami tidak mahu perkara peribadi mengganggu perjalanan kerjaya V.E.

"Ini juga memudahkan pihak pengurusan untuk merancang kerjaya seni kami tanpa dibelenggu masalah peribadi anggotanya,” ujarnya.

Berita mengenai pengunduran Shah dan Damian diumumkan menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram rasmi kumpulan tersebut pada 4 Februari lalu.

Sementara itu, V.E kini sedang dalam proses untuk rakaman lagu-lagu baharu yang melibatkan kolaborasi dengan beberapa pihak yang akan diumumkan nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain