suria

Penggambaran tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala kawasan PKPP, PKPB boleh dijalankan secara bersyarat

Penggambaran boleh diteruskan di kawasan PKPB dan PKPP. Foto: KKM.

BERIKUTAN perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri bermula 13 hingga 26 Januari depan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tampil menjelaskan mengenai aktiviti penggambaran.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa, semua syarikat produksi tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 intipati PKP, PKPB dan PKPP yang perlu anda tahu

Namun, penggambaran boleh diteruskan di kawasan yang berada dalam tempoh PKP Bersyarat atau Pemulihan (PKPP) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).



Aktiviti penggambaran di kawasan PKP tidak dibenarkan dalam tempoh itu.

"Finas ingin memaklumkan kepada semua syarikat produksi bahawa aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

"Manakala di kawasan yang dikuatkuasakan PKPB dan PKPP, aktiviti penggambaran boleh diteruskan seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi semua garis panduan dan SOP yang digariskan oleh pihak MKN.

"Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan," katanya.



Penggambaran yang dijalankan di kawasan PKPB dan PKPP perlu mengikuti SOP yang ditetapkan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dikuatkuasa di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala negeri Perlis dan Sarawak masih diteruskan dengan PKPP.

Dalam pada itu, Finas juga mengambil maklum mengenai kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melibatkan senarai sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Walaubagaimanapun, sektor industri kreatif tidak tersenarai sebagai sektor ekonomi yang dibenarkan dalam tempoh PKP buat masa kini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain