suria

Cliff Umar juara Gegar Vaganza 7, bawa pulang RM100,000

Cliff Umar juara Gegar Vaganza musim ketujuh.

TAMPIL dengan persembahan memukau, penyanyi Cliff Umar berjaya merebut gelaran juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad.

Cliff, 38, menewaskan enam peserta lain menerusi mempersembahkan lagu I’ll Do Anything For Love duet bersama juara GV5 iaitu Noryn Aziz, manakala segmen battle berentap bersama Muss dan Oja menerusi lagu Inilah Nasibku.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada penyingkiran! 7 peserta Gegar Vaganza 7 layak ke pentas akhir

Dalam ucapan kemenangan, Cliff berkata, kejayaan yang diperoleh itu adalah untuk semua yang terlibat dalam program berkenaan.

This one is not belong to me tapi untuk semua orang yang menjayakan program ini dan semua orang yang bekerja keras setiap minggu. Saya memang peminat abang Muss, Kak Ani dan semua orang, ” kata Cliff.

Cliff Umar (tengah) juara GV7, manakala Mus May tempat kedua dan Ayu akur di kedudukan ketiga. FOTO ASTRO GEMPAK.

Kemenangan itu melayakkan vokalis Projek Pistol itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000, pakej percutian dan penginapan berserta sebuah trofi.

Penyanyi Muss selaku naib juara menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai RM50,000 berserta sebuah trofi manakala tempat ketiga pula milik Ayu Damit membawa pulang RM30,000.

Tempat keempat pula menjadi milik Noraniza Idris dengan hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan tempat kelima Linda Nanuwil (RM15,000) manakala keenam serta ketujuh pula menjadi milik Oja (RM10,000) dan Ashira (RM5,000).

Noraniza Idris akur dapat tempat keempat.

Kesemua peserta perlu menyelesaikan dua tugasan iaitu nyanyian solo (medley, duet) dan pusingan battle antara mereka.

Ia dinilai oleh juri tetap Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Syafinaz Selamat manakala juri jemputan penyanyi rap terkenal Joe Flizzow.

Linda Nanuwil akur kedudukan kelima.

Dalam pada itu, segmen kongsi rezeki menyaksikan penyanyi dan penulis lirik lagu Isabellla iaitu Bob Lokman menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada pihak penaja iaitu Farm Fresh dan Astro.

Konsert akhir GV7 dihoskan oleh Nabil Ahmad bersama Jihan Muse manakala Anugerah Digi Next Level milik Ayu Damit serta Oja dan Linda Nanuwil sebagai Bintang Cuckoo minggu ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain