Dua bulan simpan rahsia, rupa-rupanya Eina Azman dalam kostum Rafflesia - “Saya minta maaf sebab tak jujur!”

Eina Azman yang memakai kostum bunga Rafflesia tersingkir dalam program The Masked Singer Malaysia.

SELEPAS dua bulan berselindung di sebalik topeng dalam program The Masked Singer Malaysia, identiti pelakon Datin Eina Azman akhirnya terbongkar apabila tersingkir pada pusingan separuh akhir.

Eina yang mengenakan kostum bunga Rafflesia berkata, pembabitannya dalam program nyanyian misteri itu adalah untuk mencabar diri mencuba bidang baharu sebagai seorang penyanyi.

"Rafflesia is done... akhirnya selepas dua bulan terpaksa menyorokkan identiti dan mengelak soalan daripada kawan-kawan mengenai Rafflesia, akhirnya terjawab sudah segala persoalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Yana Samsudin hamil 8 bulan rupa-rupanya selebriti sarung kostum ABC... jom layan 10 fakta cun ‘The Masked Singer Malaysia’!

"Seperti semua sedia maklum, saya bukanlah seorang penyanyi dan penari... banyak yang saya pelajari sepanjang berada di dalam program The Masked Singer Malaysia.

"Tahun 2020 ni saya nak keluar dari zon selesa saya, sebab tu saya mencabar diri saya untuk menjadi Rafflesia," katanya.

Penonton dan juri terkejut apabila mengetahui Eina merupakan selebriti yang bersembunyi dalam kostum Rafflesia.

Eina berkongsi pengalamannya menyertai program tersebut menerusi Instagram pada Sabtu.

Dalam program tersebut, Eina membuat persembahan nyanyian dan tarian di hadapan sembilan orang juri tetap iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.

Saya minta maaf sebab tak berlaku jujur sebab terikat dengan kontrak. Alhamdullilah, Rafflesia berjaya kekal sehingga ke semi final walaupun penuh dengan onak duri!

EINA AZMAN

PELAKON

Meskipun sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan, Eina mendedahkan dia seorang yang kurang berkeyakinan jika diminta menyanyi dan menari di hadapan orang ramai.

"Sejujurnya, saya sebenarnya kurang berkeyakinan untuk menyanyi dan menari di hadapan khalayak ramai. Nasib baik saya boleh bersembunyi di sebalik topeng Rafflesia, nampak macam mudah menyanyi dan menari dalam masa yang sama.

"Hanya tuhan saya yang tahu betapa beratnya head gear di kepala saya. Kadang-kadang takut juga tengah menari tu kepala tercabut sebab ini benda paling gila pernah saya buat.

Nabila Huda, Remy Ishak dan Ramona Zam Zam merupakan antara barisan juri tetap program ini.

"Tapi dalam gila-gila pun macam seronok juga jadi penyanyi. Saya nak jadi penyanyi lah lepas ni. Okay tak?" katanya.

Dalam pada itu, Eina turut memohon maaf kerana tidak dapat menjawab persoalan peminat dan orang ramai mengenai penglibatannya dalam program tersebut.

"Saya minta maaf sebab tak berlaku jujur sebab saya terikat dengan kontrak. Alhamdullilah, Rafflesia berjaya kekal sehingga ke semi final walaupun penuh dengan onak duri.

"Terima kasih kepada team produksi Astro di atas peluang ini dan terima kasih juga untuk anda semua yang tak henti-henti tweet tentang saya... ya, tekaan anda betul!

"Terima kasih juga buat suami tersayang Datuk Paduka Kaiser yang selalu menyokong saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain