Hasrat naik pelamin tak kesampaian, Eka Sharif (AF9) kini hamil tiga bulan - “Kali ketiga batalkan majlis... sepatutnya resepsi Sabtu ini”

Eka tangguh majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu.

TIGA kali menangguhkan majlis perkahwinan, penyanyi Eka Sharif memberitahu dia kini sudah pun hamil tiga bulan.

Eka atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffudin, 31, berkata, majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ARTIKEL BERKAITAN: Kali ini sah! Eka Sharif selamat bergelar isteri selepas dua kali tangguh

"Ini kali ketiga saya tangguh majlis dan sekarang sudah masuk tiga bulan hamil, mungkin ini yang terbaik dan perancangan Allah untuk saya.

"Sepatutnya esok adalah hari majlis resepsi saya dan ini bermakna majlis ketiga yang saya tunda disebabkan Covid-19"

"Tiga kali jemputan saya buat termasuk pertama pada 11 April, kedua pada 4 Julai dan ketiga pula pada 31 Oktober iaitu Sabtu ini" ujarnya kepada mStar Online.

Bekas peserta Akademi Fantasia 9 (AF9) ini bergelar isteri kepada jejaka pilihannya Nazrulnaim Abdul Jabar pada 19 Julai lalu selepas dua kali dibatalkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ibu saudara disahkan positif Covid-19 kurang 24 jam majlis berlangsung.



Eka dan Nazrulnaim berkahwin pada Julai lalu selepas dua kali majlis pernikahan ditangguh.

Sementara itu, Eka mengakui ada terdetik perasaan terkilan apabila terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit.

Bagaimanapun dia menganggap kehamilan itu adalah hikmah di sebalik dugaan yang dilalui sepanjang tahun ini.

Kata Eka, dia masih meletakkan harapan untuk mengadakan majlis resepsi berikutan sudah membuat bayaran penuh dan persiapan majlis istimewa itu.

"Ikutkan hati memang terkilan dengan apa yang jadi tapi saya fikir positif dan pada masa yang sama saya dikurniakan rezeki anak dalam tempoh penundaan majlis resepsi ni, jadi saya anggap mungkin ada hikmah,"

"Pereka baju pun sudah dua kali baiki baju sebab ukuran badan berubah-ubah kerana hamil,"

"Mungkin nanti bila keadaan dah reda sikit saya akan langsungkan majlis resepsi itu,"

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain