suria

Kedatangan mengejut Amyza Aznan bawa media ke firma guaman langgar etika

Tindakan Amyza bersama peguam hadir ke pejabat Tetuan Nurul Hafidzah and Associates menyalahi etika guaman.

TINDAKAN pelakon Amyza Aznan dan peguamnya hadir secara mengejut ke pejabat firma guaman Tetuan Nurul Hafidzah and Associates, Advocates and Solicitors pada Rabu bersama media menyalahi etika guaman.

Menerusi kenyataan media kepada mStar, peguam yang dilantik oleh Amyza perlu secara rasmi berhubung dengan pihak peguam Zarina Anjoulie dan memaklumkan mengenai perwakilan untuk dimaklumkan kepada mahkamah.

"Merujuk kepada laporan media pada hari ini, pihak kami menerima kedatangan mengejut tanpa sebarang temujanji dari defendan Amyza Aznan dan penguamnya semasa ketidakhadiran rakan kongsi utama, Nurul Hafidzah Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amyza Aznan tuntut peguam Zarina Anjoulie bayar ganti rugi RM5 juta, buat permohonan maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Zarina Anjoulie tak duduk diam! Tuntut Amyza Aznan dan Emelda Rosemila bayar ganti rugi RM4 juta, mohon maaf terbuka

"Defendan iaitu Amyza dan peguamnya mengarahkan dan mendesak serahan saman dilakukan di hadapan wakil media bagi kes saman fitnah anak guam Zarina Anjoulie. Kehadiran mengejut bersama pihak media mengundang kesangsian pihak firma kami.

"Firma Tetuan Nurul Hafidzah and Associates memaklumkan bahawa prosedur penyerahan saman tersebut telah dipenuhi mengikut kaedah mahkamah. Oleh kerana defendan Amyza Aznan diwakili peguam, urusan penyerahan perlu dilakukan secara teratur," katanya.



Amyza bersama peguam dan media menghantar notis tuntutan di pejabat guaman Nurul Hafidzah mewakili Zarina.

Pada Rabu, Amyza bersama peguamnya Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abd Samad hadir di pejabat Messrs Nurul Hafidzah & Associates di Shah Alam, Selangor bagi menghantar notis tuntutan.

Amyza menuntut permohonan maaf dan ganti rugi bernilai RM5 juta terhadap peguam kepada Zarina Anjoulie iaitu Nurul Hafidzah Hassan kerana mengeluarkan kenyataan media berunsur fitnah.

Nasser mendakwa tindakan Hafidzah mengeluarkan kenyataan dan ia disiarkan dalam sebuah artikel dan diulang siar di laman sosial Instagramnya pada 16 April lalu jelas merosakkan reputasi Amyza sebagai anak seni.

Bagaimanapun, ketika notis dihantar Hafidzah tidak berada di pejabat dan diserahkan kepada salah seorang kakitangan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Tetuan Nurul Hafidzah and Associates memaklumkan akan menulis surat kepada mahkamah mengenai tindakan yang dilakukan oleh Amyza dan peguamnya itu.



Nurul Hafidzah (kiri) mewakili Zarina Anjoulie.

"Peguam defendan perlu secara rasmi berhubung dengan firma kami dan memaklumkan mengenai perwakilan untuk dimaklumkan kepada mahkamah. Bagaimanapun, peguam beliau tidak pernah menulis kepada pihak firma kami tentang lantikannya.

"Pihak firma kami juga akan menulis surat kepada mahkamah berkenaan kejadian defendan Amyza Aznan bersama dengan pihak media dan dari segi etika guaman, perbuatan peguam defendan Amyza Aznan boleh diadukan ke Badan Peguam Malaysia. Ini merupakan kali pertama firma kami berhadapan dengan pihak defendan dan peguam yang pergi ke premis peguam lain untuk menerima saman bersama media.

"Kesemua kertas kausa telah dihantar kepada defendan Amyza Aznan pada 24 dan 26 April, 2020 dan serahan notis dihantar pada 2 Jun, 2020 mengikut prosedur undang-undang. Insiden sebegini, di antara peguam, boleh dielak dan telah menjadi pemahaman industri guaman mengenai tatacara berhubung sesama peguam dan etika berurusan adalah penting bagi profesion terhormat ini," ujarnya.

Sebelum ini, pelakon dan model Zarina Anjoulie melalui peguamnya telah menghantar dua surat tuntutan berasingan terhadap Emelda dan Amyza yang menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta, iaitu tuntutan RM3 juta daripada Amyza dan RM1 juta daripada Emelda Rosmila.

Pada Khamis lalu, permohonan Zarina supaya Mahkamah Kuala Lumpur memasukkan penghakiman terhadap Amyza Aznan yang gagal menjawab saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM3 Juta akan didengar pada 3 Julai depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Amyza Aznan, Zarina Anjoulie

Artikel Lain