suria

Zarina Anjoulie tak duduk diam! Tuntut Amyza Aznan dan Emelda Rosemila bayar ganti rugi RM4 juta, mohon maaf terbuka

Zarina tuntut ganti rugi daripada dua selebriti.

KONTROVERSI antara Zarina Anjoulie Lavocah dengan dua selebriti iaitu Amyza Aznan dan Emelda Rose makin berpanjangan apabila pelakon sensasi itu menuntut pampasan sebanyak RM4 juta.

Zarina membuat tuntutan itu kerana mendakwa Amyza dan Emelda membuat kenyataan dengan niat menjatuhkan reputasinya di aplikasi Instagram dan Telegram.

Peguam yang mewakili Zarina iaitu Nurul Hafidzah Hassan berkata, surut tuntutan kepada Amyza dan Emelda dihantar secara berasingan pada Rabu.

"Zarina menuntut permintaan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta kerana menjatuhkan reputasinya melalui posting dan komen-komen berbaur fitnah mengenai dirinya di Telegram dan Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: “Busuk hati sampai nak tutup IG aku, korang dah lebih!” - Zarina Anjoulie, artis senior terus ‘perang’

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau rasa dengan fitnah jahat ini boleh buat anda seronok, bangga... teruskan!” - Amyza Aznan kesal gerakan 'boikot artis sampah'

"Zarina menuntut sebanyak RM3 juta daripada Amyza Aznan dan RM1 juta daripada Emelda Rose. Zarina juga memohon kedua-dua individu tersebut untuk berhenti menulis dan menerbitkan apa-apa bentuk tulisan mengenai dirinya.

"Selain itu, Zarina mahu Emelda Rose dan Amyza Aznan membuat permintaan maaf secara terbuka dan seterusnya membayar ganti rugi kerana merosakkan reputasinya, menyebabkan tekanan dan menghasut kebencian orang awam terhadapnya," katanya.

Zarina bengang beberapa selebriti tergamak mewujudkan Telegram untuk menjatuhkan dirinya.

Tambah Nurul Hafidzah, hantaran dan komen yang ditulis oleh dua individu itu berniat jahat dan mencemarkan reputasi anak guamnya.

"Emelda dan Amyza melakukan penyiaran dan komen-komen yang salah, menyedari ianya palsu dan dengan sengaja membahayakan kedudukan imej, jenama peribadi dan reputasi anak guam kami. Kedua-dua individu tersebut menerbitkan tuduhan palsu dan fitnah mengenai anak guam.

"Zarina digambarkan sebagai seorang individu yang jahat dan tidak bermoral kepada orang ramai dan mengalami trauma disebabkan insiden ini. Mereka tidak mempunyai sokongan fakta ketika berulang kali menuduh dan menerbitkan hantaran dan komen yang merujuk kepadanya

"Banyak komen dikeluarkan oleh mereka berdua yang memalukan Zarina Anjoulie melalui penyebutan nama (name calling) dan perbuatan memalukan badan (body shaming)," katanya.

Nurul Hafidzah Hassan (kiri) mengetuai kes tersebut bersama peguam Zeti Hassan.

Jelas Nurul Hafidzah lagi, perbuatan Amyza dan Emelda juga dianggap sebagai kempen pembunuhan karakter terhadap Zarina Anjoulie yang berniat jahat.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan jika surat tuntutan tersebut tidak dijawab dalam masa tujuh hari," ujarnya.

Pada penghujung Mac lalu, industri hiburan kecoh apabila timbul isu perang artis dan netizen.

Ia bermula apabila penyanyi Black mencadangkan bantuan khusus daripada kerajaan untuk penggiat seni.

Kemuncaknya apabila tersebar beberapa paparan skrin perbualan selebriti dalam satu akaun Telegram milik Persatuan Seniman Malaysia yang didakwa menghina netizen dan pelakon Zarina Anjoulie.