suria

Sering dilempar kata nista, Aishah teringat arwah ibu bapa - “Kalau mereka ada, berani ke orang buat saya macam tu?”

Aishah terkenang arwah ibu dan bapanya yang telah lama pergi bertemu pencipta.

TERKENANG arwah ibu dan ayah yang sudah lama pergi, penyanyi Aishah berkata perjalanan hidupnya berbeza setelah berpuluh tahun hidup sebagai anak yatim piatu.

Menurut Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 55, jika orang tuanya masih hidup pasti mereka akan bersedih apabila mengetahui kepahitan yang dilalui sebagai anak seni.

"Berpuluh tahun dah mereka pergi, lama sungguh hidup yatim piatu tanpa mereka. Apabila saya fikirkan semula segala kejadian dalam hidup saya, kata-kata nista yang dilemparkan, cara orang buat kita, saya selalu tertanya-tanya... kalaulah mak dengan bapa ada, berani ke orang buat saya macam tu?.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah dipanggil ‘orang tua sakai’ - “Kalau berani berdepan dengan saya and say this to my face!”

"Bila mereka tiada bukan saja tiada lagi doa mereka untuk saya tapi tiada lagi unconditional love mereka. Tiada lagi orang yang akan lindungi kita, pandai-pandailah jaga diri!



Aishah berkongsi foto kenangan bersama arwah ibu dan bapanya.

"Tetapi dalam masa sama, saya rasa elok juga mereka dah tak ada, kerana mesti mereka sedih dan stres bila membaca dan mendengar kata-kata mulut-mulut puaka pada anak mereka, sedih bagaimana orang layan anak mereka terutamanya arwah mak, mesti terus naik gastrik.

"Usah gundah gulana, yakinlah Allah SWT ada sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya," katanya menerusi Instagram.

Bersama kapsyen tersebut, penyanyi lagu Janji Manismu ini turut berkongsi foto kenangan bersama arwah bapa serta ibunya, Wan Ariffin Pawan Teh dan Kamariah Datuk Ujang.



Aishah bersama suami dan anak-anak.

Sementara itu, Aishah memaklumkan tidak banyak koleksi foto kenangan dirakam bersama Allahyarham kerana teknologi ketika itu tidak secanggih hari ini.

"Gambar lama tak banyak, bukan macam sekarang gambar main petik dekat handphone.

"Al-Fatihah untuk Allahyarham Wan Ariffin Pawan Teh dan Allahyarhamah Kamariah Datuk Ujang. Sampaikan yang baik-baik," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Aishah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain