suria

Kandungan masuk trimester kedua, Hani Fadzil lega ‘shopping mall’ kembali beroperasi - “Masa awal mengandung tak boleh buat apa!”

Hani Fadzil lhabiskan masa di rumah sepanjang tempoh PKP kerana mengalami alahan yang teruk.

MEMASUKI usia kandungan lima bulan, pengacara Hani Fadzil mengakui lega apabila lebih banyak sektor perniagaan termasuklah pusat beli-belah kembali beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Menurut Hani, 29, pembukaan premis perniagaan itu membolehkan dia membuat persediaan dan membeli barangan keperluan untuk ibu hamil dan bayi memandangkan pada awal PKP dia tidak dapat berbuat demikian.

"Masa awal-awal mengandung iaitu trimester pertama saya memang tak boleh nak buat apa-apa kerana alahan sangat teruk, jadi memang duduk rumah sahaja!

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa buang sista ovari sebesar bola tenis, penyampai radio bagi peringatan untuk wanita

"Memandangkan tiada sebarang persediaan, jadi sepanjang tempoh tiga bulan PKP, kandungan saya pun turut sama membesar... sekarang ini apabila kerajaan umumkan PKPP dan benarkan mall serta kedai beroperasi, rasa bersyukur sangat!

"Walaupun agak berisiko nak keluar rumah tapi kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, iyalah... nak suruh orang beli barang-barang takut saiz tak betul pula," katanya kepada mStar.

Hani dan suami teruja menunggu kelahiran cahaya mata pertama mereka.

Hani ditemui semasa sesi temubual program hiburan MPop! yang diadakan secara atas talian pada Selasa.

Dia yang kini sedang hamil anak sulung berkahwin dengan Wan Faiz di Putrajaya pada Julai 2017.

Sementara itu, bekas penyampai radio Era ini memberitahu dia sedang mengikuti kelas bahasa Korea sebagai inisiatif untuk memantapkan lagi kebolehannya dalam bidang pengacaraan.

"Selalunya apabila ada artis dari Korea berkunjung ke Malaysia saya sering diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara dan sebab itu saya mengambil inisiatif menghadiri kelas secara formal.

Hani belajar bahasa Korea bagi memantapkan lagi bidang pengacaraan.

"Selepas ini dah tak perlu lagi guna khidmat juru alih bahasa apabila saya sudah menguasai bahasa Korea.

"Alhamdulillah, saya baru selesai mengambil ujian untuk tahap dua. Memandangkan sekarang sedang hamil, jadi mungkin ambil masa sedikit... apa-apa pun saya seronok belajar bahasa Korea," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hani menggalas tanggungjawab mengacarakan program MPop! yang bersiaran selama lima minit setiap hari Isnin hingga Rabu di TV3, pukul 12.55 tengah hari dan TV9 pada pukul 8.30 malam.

Selain Hani, program itu turut dikendali oleh dua pengacara lain iaitu Nina Nadira dan Harris Alif.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hani Fadzil, Mpop

Artikel Lain