suria

Hantu Penunjuk Jalan, Melodi Raya antara program menarik TV3 sepanjang Syawal

Awal dan Izzue antara selebriti yang akan menghiasi program yang disediakan sepanjang Syawal.

BIARPUN Hari Raya Aidilfitri bakal disambut secara sederhana ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), stesen televisyen TV3 dan TV9 tetap menyajikan program-program baharu yang menarik.

Salah satunya telefilem komedi seram Hantu Penunjuk Jalan yang dilakonkan oleh Izzue Islam bakal menjadi pilihan untuk tontonan seisi keluarga pada hari raya kedua iaitu 25 Mei ini.

Menurut Izzue, biarpun dia bukan seorang pelawak namun dia berjaya menghidupkan suasana komedi menerusi skrip baik.

"Telefilem Hantu Penunjuk Jalan ni cerita hantu tapi ada unsur lawak. Dalam cerita ini, saya sebagai seorang pemandu e-hailing dan dapat satu aplikasi yang akan membawa setiap penumpang ke tujuan yang berbeza.

Salah satu babak dalam telefilem lakonan Izzue Islam.

"Sebenarnya saya bukan pelawak dan tak boleh melawak tapi boleh berlakon dalam filem lawak sebab dah ada skrip, jadi kita perlu baca dan belajar saja bagaimana nak membawakan watak itu," katanya kepada mStar.

Telefilem yang akan disiarkan pukul 4 petang itu turut dilakonkan oleh aktres Bella Dally.

Selain itu, lapan telefilem lain seperti Tiada Galang Ganti, Saka Viral, Kisah Hidupku, Hantu Penunjuk Jalan, Validasi, Ara, dan Rinding bakal disiarkan sepanjang Aidilfitri ini.

Menerusi satu sidang media yang diadakan secara dalam talian, stesen televisyen tersebut turut menyediakan 10 program hiburan, enam program gaya hidup dan bual bicara, serta satu program baharu dalam slot Bananana untuk penonton si cilik.

Selain itu, terdapat juga program khas raya seperti 999 Khas Raya, Majalah 3 Raya, Tanyalah Ustaz Setulus Ikhlas dan Tanyalah Ustaz Norma Baharu serta Wanita Hari Ini Raya.

Penggambaran yang pertama artis-artis datang untuk bernyanyi sahaja, manakala penggambaran yang kedua kali baru hos datang.

AWAL ASHAARI

PENGACARA

Bagi program hiburan terbaik Syawal TV3, akan bermula pada 23 Mei dengan sebuah program tajaan foodpanda iaitu Havoc Nak Raya.

Kemudian diikuti dengan Studio Drama Sangat Raya, Al Kisah Pak Kodi, Melodi Raya, The Best Of J.K.K., I Can See Your Voice Malaysia 3 Edisi Raya (ditaja oleh Oppo), Senang Terhibur Extra dan Muzik Muzik 35 Raya.

Manakala telefilem Bahulu Untuk Opah, Taubatku, Vlog Laura, Cruise Cinta Lebaran, Huru Hara Raya, Raya Kami dan Esok Untuk Kita akan ditayangkan di saluran TV9.

Dalam pada itu, pengacara Awal Ashaari yang turut mengisi salah satu program hiburan terbaik Syawal iaitu Melodi Raya berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi semasa membuat penggambaran itu.



Antara program yang akan menceriakan penonton pada Syawal ini.

"Untuk program Melodi Raya kita buat penggambaran sebanyak tiga kali. Penggambaran yang pertama artis-artis datang untuk bernyanyi sahaja, manakala penggambaran yang kedua kali baru hos datang.

"Cabaran yang kami hadapi ialah kami mesti membuat lakonan semasa penggambaran dan ianya sangat janggal.

"Sebab hos dan artis tak jumpa jadi kita kena berpura-pura menari, tanya soalan, membuat pelbagai reaksi dan macam-macam lagi. Kiranya macam kita tengah buat penggambaran bersama," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain