suria

Yuna bangga kali kedua wajah terpapar di kota New York wakili orang Asia - “Ini adalah berkat doa ibu”

Kali kedua wajah terpapar di papan iklan di New York.

WAJAH penyanyi Yuna buat kali kedua terpapar di papan iklan yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan New York, Amerika Syarikat.

Perkara gembira itu dikongsikan sendiri Yuna menerusi laman sosialnya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna pernah diminta dedahkan bahu dan lutut untuk fotografi, tanggal tudung jika mahu jadi artis rakaman

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 34, meluahkan rasa bangga kerana dipilih aplikasi muzik Spotify bagi mewakili orang Asia menerusi kempen bulan Warisan Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik.

"Tengok! Wajah saya di seluruh New York! Sempena menyambut bulan Warisan Asia Amerika dan Kepulaun Pasifik bersama Spotify.

Sempena bulan Warisan Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik, Spotify meraikan karyawan seluruh Asia dengan kempen "Our Root, Our Sound".

"Terima kasih Spotify kerana selalu menjadikan saya sebahagian dari bulan istimewa ini. Saya bangga menjadi orang Asia," ujarnya.

Bagaimanapun, Yuna berkata, dia tidak dapat melihat sendiri papan iklan itu berikutan tidak berada New York ketika ini.

"Kalaulah saya berada di sana ketika ini untuk menyaksikannya... saya sering terlepas momen-momen wajah saya terpapar di papan iklan New York City," tulisnya.

Dalam pada itu, Yuna berkata, apa yang dikecapi hari ini adalah berkat doa daripada ibunya.

Dia juga sentiasa mengingatkan diri untuk berlaku adil dan bersikap baik kepada sesiapa sahaja.

"Ini adalah berkat doa ibu, saya percaya saya berlaku adil dalam kehidupan yang sedang saya lalui. Kamu dapat sesuatu dan kamu akan kehilangan sesuatu yang lain tapi selalu bersikap baik dan adil biarpun orang lakukan sesuatu yang salah terhadap kamu," ujarnya.

Untuk rekod, wajah Yuna pernah menghiasi sebuah papan iklan di Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena pelancaran album keempat antarabangsanya berjudul Rouge pada Julai tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Yuna, Spotify, New York

Artikel Lain