suria

Neeta kongsi pengalaman, harapan nak 'bertembung' Taylor Swift jadi kenyataan - “Masa jalan saya nampak ibu Taylor di hujung lorong”

Neeta Manisha membuat persembahan pembukaan konsert jelajah Red Tour pada 2014.

PENYANYI Neeta Manisha berkongsi pengalaman manis bertemu penyanyi terkenal antarabangsa Taylor Swift ketika konsert jelajah Red Tour pada 2014.

Neeta Manisha atau nama sebenarnya Neeta Manishaa Manogaran, 26, berkata, dia bernasib baik apabila pertemuan itu dibantu oleh ibu penyanyi berkenaan iaitu Andrea ketika di belakang pentas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kawal diri dari berkata buruk pada orang!” - Neeta Manisha lali ditegur warna kulit, padam Tweet enggan panjangkan isu

"Kami sepatutnya ada Meet & Greet bersama Taylor selepas konsert tetapi tak jadi.

"Kemudian, saya mengajak Anas (ahli kumpulan IamNEETA) berjalan di kawasan belakang pentas dengan harapan kami dapat 'bertembung' dengannya.

"Masa jalan, ada satu lorong kecil ni dan saya nampak ibu Taylor, Andrea di hujung lorong jadi saya terus berlari ke arahnya dan menegurnya," kata Neeta.

Neeta berkongsi pangalaman manis bertemu Taylor Swift di konsert jelajah Red Tour pada 2014.

Vokalis kumpulan IamNEETA itu berkata, dia berasa terharu apabila ibu penyanyi itu tidak keberatan untuk membawa mereka bertemu penyanyi Blank Space selepas persembahan.

Tambahnya, ibu penyanyi itu juga menghalang pengawal peribadi agar membenarkan kami memasuki kawasan belakang pentas tanpa pas kebenaran.

Pengawal peribadi datang dan cuba untuk halau kami

NEETA MANISHA

PENYANYI

"Ibu Taylor sangat baik. Dia bawa kami ke belakang pentas.

"Semasa menunggu Taylor, tiba-tiba ada seorang pengawal peribadi datang dan cuba untuk halau kami kerana kami tiada pas akses, hanya pas belakang pentas.

"Tetapi ibu Taylor menarik tangan saya sambil berkata kepada pengawal tersebut yang kami bersamanya. Ketika itu saya rasa macam nak menangis," kongsi Neeta.

Neeta berkata, dia rasa teruja apabila dapat melihat dan berbual dengan penyanyi kesayangannya secara dekat.

"Tak berapa lama kemudian, Taylor yang kelihatan tenang turun dari pentas bersama penari dengan hanya berselipar.

Neeta meluahkan keterujaan bertemu Taylor Swift di laman Instagram pada Selasa.

"Saya hampir pitam dan rasa seperti sedang berkhayal. Kami berbual dan Taylor juga mengucapkan terima kasih.

"Kami sempat ambil gambar sebelum beredar. Semasa berjalan pulang ke bilik, Anas meloncat macam budak baru jumpa jodoh," ujarnya.

Dalam pada itu, Neeta berkata, pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Neeta yang menjadi artis pembukaan konsert berkenaan berkata, dia dan ahli kumpulannya bekerja keras untuk mendapatkan peluang tersebut.

"Gembira dapat bergambar dengan Taylor, kerana kami bekerja keras untuk dapatkan peluang membuat persembahan pembukaan konsert Taylor Swift.

"Jadi kami ambil kesempatan yang ada dan akhirnya dapat pengalaman yang tak akan dapat dilupakan," jelas Neeta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Neeta Manisha, Taylor Swift, IamNEETA

Artikel Lain