suria

Selepas Kluster Kayangan, Drama Band lancar lagu Bertahanlah untuk 'frontliner', rancang keluar album PKP dalam masa terdekat

Drama Band tampil dengan lagu memberi semangat kepada frontliners berjudul Bertahanlah.

SELEPAS melancarkan lagu sindiran untuk 'kluster kayangan' pada April lalu, kini Drama Band tampil pula dengan single terbaharu berjudul Bertahanlah yang ditujukan kepada barisan hadapan (frontliners).

Menurut vokalis kumpulan iaitu Aepul Roza, mereka mengambil risiko untuk mengeluarkan lagu dalam masa yang singkat kerana menyedari dalam berkarya tidak perlu had atau halangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama Band buat hal lagi, lancar lagu sindir 'kluster kayangan' - “Teguran untuk mereka yang tiada adab!”

"Kali ini kami tampil dengan lagu untuk memberi semangat kepada para barisan hadapan kita yang bekerja keras untuk memerangi wabak Covid-19 sehingga ke hari ini.



Lagu yang cipta khas untuk beri semangat kepada barisan hadapan.

"Alhamdulillah, di tempoh penuh cabaran ini, kami dapat hasilkan beberapa buah lagu dan tidak ambil masa yang lama untuk lancarkan semua karya kami.

"Kami rela mengambil risiko ini kerana sejak akhir-akhir ini kami sedar, dalam berkarya sebenarnya jangan diletakkan halangan. Kita tak pernah pasti esok akan tiba, jadi lakukan saja hari ini," katanya kepada mStar.

Lagu untuk 'kluster kayangan' berjudul Kayangan yang dimuat naik di saluran YouTube pada 14 April lalukini mendapat lebih 500,000 tontonan.

Kami memang ada niat untuk buat lagu beri semangat kepada barisan hadapan kita.

AEPUL ROZA

VOKALIS DRAMA BAND

Selepas berjaya mencecah setengah juta tontonan, Drama Band terus melancarkan lagu Bertahanlah yangmemberi semangat kepada barisan hadapan pada Ahad.

Dalam pada itu, Aepul memberitahu lagu ciptaan Argo dan AG Coco tersebut merupakan salah satu single yang akan dimuat naik dalam mini album bertajuk PKP yang dijangka akan dilancarkan pada 1 Jun depan.

Kata Aepul, mini album itu merupakan salah satu usaha atau inisiatif mereka untuk mencari pendapatan sampingan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.



Drama Band bikin mini album untuk cari pendapatan sampingan.

"Kami memang ada niat untuk buat lagu beri semangat kepada barisan hadapan kita. Insya-Allah pada 1Jun depan kami akan lancarkan mini album bertajuk PKP yang merangkumi lima buah lagu.

"Semua lagu itu ditulis dalam musim PKP ini. Memandangkan dalam tempoh yang sukar ini show pun tak ada, jadi kami ambil keputusan untuk keluarkan CD untuk dijual.

"Kiranya ini salah satu alternatif kami untuk mencari pendapatan sampingan dalam tempoh PKP," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Drama Band, Aepul Roza,

Artikel Lain