suria

“Saya tak ramai kawan, suka menyendiri dan cepat marah” - Yonnyboii cerita kisah peribadi di zaman sekolah

Lagu terbaharu ciptaan Yonnyboii berjudul Salahku mempunyai kaitan dengan pengalaman hidupnya.

PENYANYI dan komposer muda Yonnyboii berkata perjalanan sukar yang dilalui olehnya ketika usia awal remaja membantu mematangkan hidupnya pada hari ini.

Menurut Yonnyboii atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, kisah silam bukanlah penghalang untuk berjaya dan dia menjadikan pengalaman lalu sebagai jalan cerita dalam lagu-lagu ciptaannya.

"Di sekolah dulu pun, saya tak ramai kawan. Saya memang jenis yang suka menyendiri, berdiam diri, memendam rasa dan cepat marah.

ARTIKEL BERKAITAN: Yonnyboii ubah lagu demi Zynakal - “Ketika itu dia sedang sedih dan bermasalah”

"Sejak usia 16 tahun lagi, saya lebih selesa menunjuk perasaan dalam lagu dan saya sering merasakan diri saya banyak kekurangan. 

"Kadang-kala orang tidak memahami apa yang saya lalui dan apa yang saya inginkan dalam hidup. Jadi menerusi lagu sahaja saya dapat melempiaskan perasaan itu," katanya.

Yonnyboii menulis lagu berdasarkan pengalaman hidup sejak di bangku sekolah.

Meskipun memiliki pendidikan dalam bidang perisian dan grafik, penyanyi lagu Sakit ini berkata jiwanya lebih ke arah muzik.

Malah, sehingga kini dia sudah menghasilkan ratusan lagu pelbagai genre.

"Mungkin juga sudah tertulis tuah dan rezeki saya dalam dunia seni. InsyaAllah saya akan manfaatkannya sebaik mungkin. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek.

"Saya gemar bereksperimental dan tak mahu terikat dengan satu genre. Saya selesa bebas dengan tujuan berkongsi bakat yang ada. Cukup memadai, kelaskan saya sebagai penggubah lagu.

"Ikutkan lagu rock kapak pun saya buat. Muzik itu bersifat universal dan saya sudah ada dalam beratus juga lagu ciptaan dari zaman underground sampailah ke saat ini,” ujarnya.

Lagu Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal menerima sambutan hebat pendengar.

Bercerita mengenai lagu terbaharu berjudul Salahku, Yonnyboii berkata ia merupakan terjemahan hidup manusia yang tidak sempurna.

"Lagu itu saya tulis mengenai isi hati diri saya. Ada masa kita rasa tindakan kita selalu betul, hakikatnya pada mata orang lain apa yang kita buat itu satu kesilapan. 

"Saya rasa benda ini mungkin turut dilalui orang lain... ketika diri berasakan sudah cukup baik dan bagus, pasti ada yang melihat sebaliknya.

"Jadi, kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri setiap manusia itu boleh bertukar menjadi kekuatan. ,” katanya.

Salahku ciptaan sepenuhnya oleh Yonnyboii boleh didengar menerusi semua platform digital dan saluran YouTube Universal Music bermula Sabtu.

Yonnyboii, salahku

Artikel Lain