suria

“Saya tak nak lepas tangan” - Siti Nurhaliza pertimbang untuk muncul pada AJL 34

Datuk Seri Siti Nurhaliza masih mempertimbangkan untuk membuat persembahan pada AJL ke-34.

PENYANYI tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui masih membuat pertimbangan sama ada mahu membuat persembahan pada malam berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 nanti.

Bagaimanapun setakat ini, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 41, berkata, dia tetap dengan pendiriannya memberi kepercayaan kepada penyanyi Bob untuk mewakilinya pada malam itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berniaga dengan jujur dan jangan salah guna nama Aafiyah!” - Siti Nurhaliza kesal ratusan akaun palsu atas nama anaknya

ARTIKEL BERKAITAN: Doa Siti Nurhaliza sebelum hamil ingin bawa Siti Aafiyah tunai umrah bakal termakbul

“Saya pun tengah fikir tapi hanya Allah saja yang menentukan. Saya tahu ada yang meminta malah Bob dan Hael sendiri memang memujuk saya untuk buat persembahan pada AJL nanti... dan dia pun berdoa supaya Allah bukakan hati saya.

Siti Nurhaliza (tengah) bersama suaminya Datuk Khalid (kiri) dan anak mereka, Aafiyah.

“Tapi saya masih lagi 80 peratus dengan keputusan untuk tidak menyanyi malam itu.

“Kemungkinan untuk berduet tu saya tak berani nak cakap. You all doakan sajalah kalau jadi,” ujarnya kepada mStar.

Siti ditemui sewaktu Majlis Perjumpaan dan Sambutan Ulang Tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Sitizone di Magica Hall, Subang pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Anta Permana ini memberitahu dia enggan lepas tangan terhadap Bob dalam memikul tanggungjawab itu.

Kata Siti, dia sebaliknya ada berjumpa dengan Bob bagi membantu dalam persembahannya pada 9 Februari nanti.

Saya ada duduk berbincang dengan Bob juga mengenai apa yang perlu dia lakukan, apa elemen-elemen yang kita nak letakkan dalam persembahan itu nanti.

DATUK SERI SITI NURHALIZA

PENYANYI

“Saya berterima kasih pada Hael, Ezra Kong dan juga Bob kerana mereka mempertaruhkan lagu ini pun memang komposer dan penulis liriknya tahu ia akan pergi AJL.

“Saya sebagai penyanyi menyokong apa saja yang mereka buat dan semestinya saya akan memberikan input yang terbaik untuk Bob sebab lagu ini sebenarnya diciptakan khas untuk saya.

“Jadi saya taknak lepas tangan begitu saja. Saya ada duduk berbincang dengan Bob juga mengenai apa yang perlu dia lakukan, apa elemen-elemen yang kita nak letakkan dalam persembahan itu nanti. Jadi saya membantu dari sudut itulah. Insyallah kalau saya tak sibuk waktu itu, saya rasa nak tengok Bob berlatih,”katanya.

Bercerita mengenai sambutan ulang tahun bersama peminatnya, Siti meluahkan rasa syukur dikurniakan peminat yang begitu menyayangi dirinya selain tidak putus memberikan sokongan.

Siti menyambut ulang tahun kelahiran ke-41.

“Ia adalah kenangan buat saya apabila sambutan hari jadi ke-41 ini dapat disambut bersama ulang tahun Sitizone lebih-lebih lagi dengan kehadiran ibu mentua, suami dan anak.

“Ini adalah anugerah daripada Allah yang bukan semua boleh dapat dimana saya disayangi dan dihargai oleh peminat rezeki yang amat besar bagi saya.

“Apa yang saya harapkan hubungan saya dengan Sitizone sampai ke akhir hayat dan Insyallah sampai syurga... kita susah dan senang sama-sama,” katanya.


Siti Nurhaliza, AJL34, Anta Permana

Artikel Lain