suria

Festival Filem Malaysia kembali, 67 filem bakal berentap rebut 32 kategori

Filem Sangkar turut tercalon dalam FFM31.

FESTIVAL Filem Malaysia kali ke 31 (FFM31) bakal membuat kelainan apabila akan bersiaran secara langsung di Encore Melaka pada 18 April ini.

Sebanyak 67 filem bakal berentap merebut 32 kategori yang dipertandingkan dengan mengangkat Inspirasi Sinemaku : Tanpa Sempadan sebagai tema bagi FFM edisi kali ini.

Karya yang dipertandingkan terdiri daripada 35 filem Bahasa Malaysia, 15 filem Mandarin dan Kantonis, 12 filem Tamil, empat filem animasi serta sebuah filem yang mewakili kategori lain-lain.

Majlis sidang media Festival Filem Malaysia ke 31.

Antara filem yang bertanding ialah Wira, Ejen Ali The Movie, Bikers Kental, Tiada Tajuk dan Sangkar.

Pebadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui pengerusinya, Datuk Hans Isaac menjelaskan pihaknya mendapat kerjasama daripada Kerajaan Melaka bagi menjayakan FFM31.

"Kami menyimpan hajat besar, Finas mahu lakukan sesuatu yang berbeza. seperti yang diketahui, banyak filem berjaya mencapai kutipan pecah panggung tahun lalu.

"Ramai juga penggiat industri kreatif berjaya ke peringkat antarabangsa. Malah filem Malaysia berjaya mendapat pencalonan awal pada anugerah Akademi 2020, ada juga yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke luar negara," katanya kepada mStar.

Filem Anak Perjanjian Syaitan turut tercalon.

Hans turut menjelaskan Finas telah meletakkan sasaran agar lebih banyak filem tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

"Hendak cakap senang dan kritik tu mudah, tapi bukan sesuatu yang mudah untuk pasarkan filem ke luar negara.

"Kami memerlukan sokongan semua penggiat industri kreatif demi bersikap adil supaya dapat memberi peluang kepada semua penggiat seni," tambah Hans.

Malam kemuncak FFM31 bakal disiarkan secara langsung pada 9 malam melalui saluran Astro manakala majlis perasmian festival pula akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 April dan disiarkan melalui saluran RTM.

Sebanyak empat kategori diperkenalkan semula iaitu Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan juga Filem Digital Terbaik.

Manakala kategori Tatarias Terbaik pula bakal dipertandingkan buat kali pertama.

ffm31

Artikel Lain