suria

Upin & Ipin diminta buang watak lelaki lembut - “Henti guna aku dan kau, kasar dan terjerit-jerit, buang watak Sally!”

Nama Upin & Ipin trending selepas seorang netizen berpendapat beberapa karekter dalam siri kartun itu seperti Sally (kiri), Kak Ros dan Jarjit perlu banyak diperbaharui.

SEORANG pengguna laman sosial Twitter bernama Alyaa meminta produksi Upin & Ipin, Les' Copaque berhenti menggunakan bahasa yang kasar dan kata ganti nama diri aku dan kau dalam siri kartun animasi itu.

Alyaa turut berharap watak seorang lelaki lembut bernama Sally dihapuskan serta menggantikan beberapa suara latar mengikut karakter bangsa sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal' disenarai untuk pencalonan anugerah Oscar 2020

Malah, Alyaa juga menganggap tagline 'betul betul betul' yang digunakan watak utama iaitu Upin dan Ipin tidak menarik dan perlu dihentikan.

Alyaa memberi pendapatnya mengenai siri kartun Upin & Ipin.

"Berhenti guna aku, kau. Kak Ros berhenti cakap kasar-kasar dan jerit-jerit. Buang karakter Sally whatever tu.

"Ambil orang berbangsa India sebenar untuk karakter India. Perbaiki lagi isi kandungan dengan nilai moral atau hanya batalkan saja siri itu.

"Hentikan tagline 'betul betul betul', ia tidak comel," katanya.

Alyaa memberi pendapat itu selepas pihak produksi Les' Copaque meminta netizen di laman sosial Twitter berkongsi idea paling unik untuk Upin & Ipin pada tahun hadapan.

Antara komen netizen yang tidak bersetuju dengan pandangan Alyaa.

Perkara itu menerima pelbagai reaksi dan ada juga segelintir netizen yang tidak bersetuju dengan pandangan Alyaa.

"Jadi, Les' Copaque patut cancel the show just because tak kena dengan your taste? Macam mana dengan berjuta parents lain yang rasa Upin & Ipin banyak mengajar nilai-nilai murni untuk anak-anak mereka?

"Saya membesar tengok Anak-Anak Sidek. Dalam cerita itu bukan setakat penggunaan kau aku, bergaduh sesama adik-beradik pun selalu ada. Hj Sidek punya bahasa lagi kasar daripada kak Ros. Tak ada pun saya ikut macam tu. Bimbingan ibu bapa tu penting kalau bagi anak tengok apa-apa di TV.

"Sebab tulah kalau anak tengok TV parents kena ada sekali. Yang mana kita rasa tak patut kita beritahu anak jangan buat macam ni. Bukannya biarkan anak tengok TV dan faham sendiri," komen beberapa netizen.

Filem ini telah menghantar pencalonan awal anugerah Oscars 2020.

Susulan itu, nama Upin & Ipin menjadi trending di laman sosial, Twitter pada Khamis.

Siri kartun itu antara yang menjadi pilihan dan kegemaran kanak-kanak semenjak mula disiarkan pada tahun 2007 sehingga kini.

Filem Upin & Ipin: Keris Siaman Tunggal yang ditayangkan pada 21 Mac lalu turut mendapat sambutan hangat biarpun telah mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

Filem tersebut berjaya menerajui industri animasi tempatan apabila menghantar pencalonan awal anugerah Oscars 2020 bagi kategori Best Animated Feature Films pada 17 Oktober lalu.

Upin & Ipin, Kak Ros, Sally

Artikel Berkaitan

Artikel Lain