suria

“Energi negatif itu lain... dah cuba kawal tapi tak boleh” - Terkena sihir, Remy Ishak cuti panjang untuk berubat

Remy enggan mengulas lebih lanjut mengenai gangguan yang berlaku terhadap dirinya.

SUSULAN beberapa status menggambarkan dirinya menjadi mangsa sihir, pelakon Remy Ishak memberitahu dia kini sedang mendapatkan rawatan perubatan Islam dan moden bagi memulihkan semula keadaan tubuhnya.

Menurut Remy atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 37, doktor meminta dia tidak terlalu berfikir mengenai perkara itu kerana bimbang ia akan mendorong ke arah tindakan luar kawalan.

"Saya sekarang ini dalam fasa perubatan, jadi lebih baik saya kurangkan bercakap tentang benda ini, ianya hanya akan mendorong perkara tidak baik sebab (masalah) masih belum selesai lagi.

ARTIKEL PENUH: Menjerit di gim, lampu sauna berkelip-kelip ketika berzikir dan badan sakit - Remy dedah perit terkena sihir

ARTIKEL PENUH: Ahli keluarga terkena sihir? Peminat bimbang status Remy Ishak - “Aku dah tahu semua benda yang kau buat!”

"Doktor pun minta saya santai-santai dan rileks sahaja sebab takut jika perasaan itu membawa ke lembah yang lebih gelap.

"Energi negatif itu sangat lain, dia bawa saya ke arah luar kemampuan saya, dah cuba kawal tapi tak boleh. Cumanya sekarang ini, saya okay Alhamdulillah," katanya kepada mStar.

Status Remy menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Pelakon filem Sangkar ini ditemui semasa sesi meet and great produk minuman Origina bersama peminat di Watson, Sunway Pyramid pada Sabtu.

Pada 17 Oktober lalu, Remy Ishak memuat naik status memberi amaran kepada seseorang di Instastory dan ia telah meninggalkan tanda tanya dalam kalangan netizen.

Menerusi status tersebut, Remy menegaskan dia akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada perkara buruk yang berlaku terhadap keluarganya akibat perbuatan sihir.

Sementara itu, sepanjang tempoh pemulihan, Remy memberitahu dia akan mengambil cuti sehingga penghujung tahun ini.

Remy berkongsi mengenai gangguan ilmu hitam yang dialami olehnya di laman Instagram.

Kata pelakon filem Dendam Pontianak ini, dia mahu menenangkan fikiran dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

"Saya ambil keputusan untuk berehat dulu dan habiskan masa di rumah bersama dengan keluarga.

"Sekarang ini pun sibuk dengan promosi produk Origina dan Insya-Allah selepas rehat ini saya akan teruskan dengan beberapa projek lakonan.

"Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan untuk saya," ujarnya.

Remy Ishak

Artikel Lain