suria

Penyanyi AF4 Shazroul meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa, hasrat nikah tahun depan tak kesampaian

Shazroul meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus.

PENYANYI kelahiran program Akademi Fantasia musim keempat, Shazroul Fazlie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada usus kira-kira pukul 6.20 petang, Rabu.

Ibu kepada Shazroul, Noraini Elias yang mengesahkan berita sedih itu berkata, Allahyarham jatuh sakit secara tiba-tiba pada 10 September lalu iaitu sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

Noraini berkata, arwah turut kehilangan berat badan mendadak daripada 61 kilogram kepada 45 kilogram sepanjang dua minggu bertarung nyawa.

Shazroul juga telah menjalani dua pembedahan pemotongan usus yang bocor sepanjang kira-kira 90 sentimeter iaitu pada 10 September dan 21 September lalu.

Shazroul dan Afiqah mengikat tali pertunangan pada Julai 2017 lalu.

Dalam pada itu, tunang Shazroul, Nur Afiqah Syaqira, 24, yang masih terkejut dengan pemergian arwah berkata, mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Julai lalu namun terpaksa menangguhkan hasrat itu selepas arwah berpindah ke Langkawi.

"Kami sepatutnya berkahwin Julai lalu tapi disebabkan arwah berpindah kerja ke Langkawi, kami terpaksa menunda untuk berkahwin pada tahun hadapan.

"Segala persiapan perkahwinan sudah diuruskan, kad undangan dan baju nikah pun saya dah simpan dalam almari.

Saya tak sangka arwah pergi meninggalkan saya... dalam pukul 6.30 tadi saya dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa dia sudah tiada. Saya terkejut hampir nak pengsan.

AFIQAH SYAQIRA

"Saya tak sangka arwah pergi meninggalkan saya... dalam pukul 6.30 tadi saya dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa dia sudah tiada. Saya terkejut hampir nak pengsan," ujarnya sebak.

Jenazah Shazroul akan dimandikan di Masjid Bukit Antarabangsa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di Ampang selepas subuh pada Khamis.

Allahyarham sebelum ini pernah menghasilkan album berjudul Cuma selain berduet dengan Adzrin Azhar menerusi lagu Pencuri Hati.

Shazroul AF4, meninggal dunia

Artikel Lain